Sokong MU sejak berusia tujuh tahun, saya bukan peminat ‘bermusim’ - Yusuf Bahrin - Utusan Malaysia

Sokong MU sejak berusia tujuh tahun, saya bukan peminat ‘bermusim’ – Yusuf Bahrin

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon Yusuf Bahrin tampil mempertahankan minatnya terhadap kelab bola sepak Manchester United (MU) selepas mendakwa dilabel sebagai ‘peminat bermusim’ oleh segelintir wargamaya.

Yusuf berkata, sokongannya terhadap kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya telah bermula sejak zaman kanak-kanaknya lagi.

Menurutnya, dia mula meminati MU sekitar tahun 1999 ketika berusia tujuh tahun, iaitu sewaktu pasukan itu berada di bawah kendalian pengurus legenda, Sir Alex Ferguson.

“Bukan niat untuk berlagak, tetapi saya memang menyokong Manchester United sejak era Sir Alex Ferguson lagi.

“Cuma ada pihak yang mempersoalkan sokongan itu hanya kerana saya tidak kerap berkongsi mengenainya sebelum ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Yusuf meluahkan rasa kesal apabila ada pihak yang mempertikai keterujaannya setiap kali pasukan itu mencatat kemenangan, seolah-olah menggambarkan dirinya hanya muncul ketika pasukan berada di landasan positif.

“Memang ada yang berkata, apabila menang sahaja baru hendak berkongsi kegembiraan. Hakikatnya, sebagai penyokong, kami telah melalui tempoh yang panjang penuh cabaran dan kritikan,” ujarnya.

Suami kepada penyanyi Zizi Kirana itu turut menegaskan bahawa luahan kegembiraannya hanyalah reaksi spontan selepas bertahun-tahun menyokong pasukan kesayangannya dalam keadaan prestasi yang tidak menentu.

Tambahnya, sokongan terhadap sesebuah pasukan bola sepak adalah bersifat peribadi dan tidak seharusnya dipersoalkan hanya berdasarkan kehadiran di media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN