Shila Amzah mahu bebas hutang, henti tabiat berbelanja secara tidak terkawal - Utusan Malaysia

Shila Amzah mahu bebas hutang, henti tabiat berbelanja secara tidak terkawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Shila Amzah berkongsi azamnya untuk menjadi individu yang bebas daripada sebarang hutang dan memulakan tabiat gaya hidup sederhana.

Menurut Shila, dia ingin menyelesaikan komitmen hutang kereta dan tempat tinggal secepat mungkin selain mahu mengurangkan kapasiti barangan yang dimilikinya sekiranya jarang digunakan.

“Saya benar-benar mahu bebas hutang (mahu habiskan bayar rumah dan kereta). Selepas itu mahu mengemas serta menyingkirkan barang-barang yang sudah tidak digunakan.

“Sebelum ini saya selalu juga buat begitu. Kalau dalam tempoh dua hingga tiga bulan saya tidak gunakan sesuatu barang, itu bermakna saya memang tidak memerlukannya langsung,” katanya di Threads.

Mengakui kerap membuat langganan sesuatu perkara tanpa dirancang, penyanyi lagu Patah Seribu itu nekad mahu menghentikan tabiat membeli-belah secara tidak terkawal tersebut.

“Banyak juga langganan yang sebenarnya tiada hala tuju. Saya betul-betul mahu berhenti membeli barang yang tidak perlu.

“Hidup tanpa merasa pegang duit sendiri sebelum ini membuatkan saya menjadi seorang pembeli yang agak tidak terkawal apabila dewasa.

“Saya tidak bangga dengan perkara itu, tetapi saya akan ambil langkah besar untuk menjadi lebih baik,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN