Saya terpaksa cuit Iddin kerana waktu azan hampir tiba - Cef Wan - Utusan Malaysia

Saya terpaksa cuit Iddin kerana waktu azan hampir tiba – Cef Wan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cef selebriti terkenal, Datuk Chef Wan tampil memberikan penjelasan susulan video tular yang memaparkan tindakannya mencuit pendakwah selebriti, Iddin Ramli ketika mereka bersiaran dalam sebuah program televisyen secara langsung.

Chef Wan atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail berkata, situasi tersebut berlaku ketika Iddin diminta membaca doa sebelum azan Maghrib berkumandang dan seterusnya bagi tujuan berbuka puasa.

Menurut beliau, pihak hos sebelum itu ada bertanyakan kepada Iddin sama ada doa yang ingin dibacakan adalah panjang atau ringkas memandangkan waktu berbuka semakin hampir.

“Iddin mungkin tidak perasan keadaan semasa kerana itu merupakan pengalaman pertamanya muncul dalam program siaran langsung.

“Beliau kemudian membaca doa yang agak panjang dengan penuh khusyuk sehingga menutup mata,” katanya menerusi satu hantaran di TikTok.

Mengulas lanjut, Chef Wan menjelaskan beliau bertindak mencuit Iddin selepas menerima isyarat daripada kru produksi yang meminta bacaan doa tersebut disegerakan kerana waktu azan semakin hampir.

“Di hadapan kami, floor manager dan kru produksi sudah beberapa kali memberi isyarat supaya segera menamatkan segmen, namun Iddin tidak menyedarinya.

“Saya kemudian diminta oleh floor manager untuk menegur beliau supaya mengakhiri doa,” ujarnya.

Tambah beliau, pada mulanya timbul rasa serba salah untuk berbuat demikian kerana bimbang tindakan tersebut akan disalah tafsir, namun akhirnya beliau akur dengan arahan produksi.

“Saya risau juga jika tindakan itu mengundang salah faham, tetapi keadaan sudah mendesak kerana waktu azan hampir tiba.

“Akhirnya saya cuit beliau dan ketika itu barulah beliau membuka mata,” katanya.

Dalam pada itu, Chef Wan menegaskan bahawa pengurusan masa dalam siaran langsung amat penting, lebih-lebih lagi apabila melibatkan waktu azan dan berbuka puasa yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam.

“Dalam siaran langsung, masa sangat terhad dan perlu dipatuhi. Tambahan pula ketika waktu berbuka, azan tidak boleh dilewatkan dan program juga tidak boleh dilanjutkan.

“Doa yang terlalu panjang juga tidak sesuai dalam situasi tersebut kerana perlu memberi laluan kepada azan,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan insiden berkenaan sebagai pengalaman yang mencuit hati dan menyeronokkan sepanjang terlibat dalam program tersebut.

“Keadaan ketika itu agak kelam-kabut, hos juga tersipu-sipu melihat saya panik apabila Iddin tidak membuka mata.

“Namun, ia tetap menjadi pengalaman yang menghiburkan buat kami semua,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN