Perkahwinan bukan satu perkara main-main - Rebecca Nur Islam - Utusan Malaysia

Perkahwinan bukan satu perkara main-main – Rebecca Nur Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak semua perjalanan hidup berakhir seperti yang diimpikan, namun bukan semua kegagalan melemahkan jiwa. Bagi pelakon Rebecca Nur Islam, runtuhnya sebuah perkahwinan bukan noktah kepada kehidupan, sebaliknya menjadi ruang untuk dia bangkit sebagai wanita yang lebih kuat, matang dan berpijak pada realiti. 

Dalam kesunyian yang pernah hadir, Rebecca memilih untuk berdiri, memikul tanggungjawab sebagai ibu dan menyusun semula hidupnya demi anak-anak tercinta.

Rebecca mengakui, selepas melalui episod penceraian bersama bekas suami, dia tidak memikirkan soal untuk kembali mendirikan rumah tangga buat masa ini kerana baginya perkahwinan bukan satu perkara yang boleh dipandang ringan.

“Perkahwinan ini bukan perkara main-main. Jangan fikir kahwin itu sekejap-sekejap. Bila kita berkahwin, kita bukan berniat untuk sementara, kita memang mahukan sampai ke akhir hayat. Tak ada orang yang berkahwin dengan niat untuk berpisah.

“Saya pernah berkahwin lama, lebih sepuluh tahun. Jadi saya tahu perkahwinan itu bukan perkara kecil. Ia melibatkan banyak pengorbanan, tanggungjawab dan kesabaran. Sebab itu, buat masa ini, saya memang tidak memikirkan soal perkahwinan itu lagi,” ujarnya ketika ditanya Utusan Malaysia.

Bagi Rebecca, fokus utama kehidupannya kini hanyalah anak-anak yang menjadi sumber kekuatan dan kebahagiaan sebenar buat dirinya.

“Kalau orang tanya apa itu bahagia bagi saya, jawapannya mudah. Kebahagiaan saya adalah anak-anak. Bila anak-anak saya bahagia, saya pun bahagia. Keutamaan saya sekarang hanyalah mereka, bukan diri saya,” katanya.

Pelakon itu yang dikurniakan tujuh orang anak berkata, kehidupannya kini jauh daripada rasa sunyi, sebaliknya dipenuhi dengan tanggungjawab, kebisingan dan suasana rumah yang sentiasa hidup.

“Dengan tujuh orang anak, memang tak sempat nak rasa sunyi. Setiap hari penuh dengan suara, gelak tawa, ada penat, ada letih, tapi itulah nikmat. Alhamdulillah, kehidupan saya sekarang sangat tenang dan harmoni,” katanya.

Sementara itu, Rebecca memberitahu, setiap keputusan yang dibuat selepas penceraian adalah demi menjaga emosi dan kesejahteraan anak-anak yang masih bersekolah.

“Anak-anak saya masih kecil dan masih di bangku sekolah. Mereka dikenali, jadi kami sangat menjaga privasi mereka. Sebelum apa-apa keputusan dibuat, kami berbincang dengan anak-anak terlebih dahulu supaya mereka faham keadaan.

“Pada awalnya memang mereka sedih, sebulan dua begitu, tetapi Alhamdulillah sekarang mereka sudah stabil.Apa pun yang berlaku antara kami sebagai pasangan, dia tetap seorang ayah yang sangat menyayangi anak-anak. Itu perkara yang saya hormati dan hargai,” ujarnya.

Menyentuh soal jodoh pada masa hadapan, Rebecca memilih untuk tidak meletakkan sebarang jangkaan atau perancangan, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya urusan tersebut kepada ketentuan Allah.

“Kalau ada jodoh, insya-Allah ada. Sama ada dengan orang yang sama atau orang lain, itu semua ketentuan Allah. Saya tak mahu paksa apa-apa. Saya letakkan sepenuhnya perjalanan hidup saya kepada-Nya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN