Penulis tidak akan tulis lirik lucah kalau ada perasaan malu - Baiduri

Penulis tidak akan tulis lirik lucah kalau ada perasaan malu – Baiduri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPERTI filem, lagu merupakan antara perkara yang mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku manusia. Ramai penulis menggunakan lirik untuk menyebarkan ideologi. Ada yang dalam penulisan mereka menyampaikan nasihat, kritikan dan luahan.

Tapi yang membimbangkan apabila lirik lagu itu disalah guna untuk tujuan menyimpang.

Sebab itu ramai bersuara tentang lagu Masuk Lagi nyanyian Baby Shima yang pada pandangan ramai, lucah yang diselimuti dua maksud (double meaning).

Lirik tulisan Ajim Maze itu bukan yang pertama dikritik ‘berjemaah’. Lagu Malam Pagi, dendangan Saixse sebelum ini juga hebat dikecam kerana lirik yang menjurus kepada unsur lucah dan maksiat.

Tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak, penulis lirik berpengalaman, Norhayati Mohd Hashim atau Baiduri berpandangan lirik lagu dua makna dan lucah ini perlu dibendung.

“Dahulu wujud badan penapis yang menilai sama ada lagu itu dibenarkan atau tidak diperdengarkan kepada masyarakat.

“Lagu-lagu yang mengandungi lirik berunsur negatif diharam keluar mana-mana radio atau stesen televisyen. Jadi sebagai pencipta lagu, kami amat berhati-hati kerana khuatir lagu tidak diluluskan.

“Keadaan sekarang berbeza. Zaman sudah berubah, platform pun sudah banyak tapi kita tak ada penilai dan penilai.

“Jadi perlu ada badan tertentu untuk membendung lagu atau kandungan begini lebih-lebih lagi pada zaman teknologi tanpa sempadan sekarang ini, banyak perkara kita capai di hujung jari,” katanya.

Bukan mahu menuduh penulis sengaja mengisi mesej lucah disebalik lirik dua makna, Baiduri mengakui faham yang hakikatnya setiap penulis ada interpertasi tersendiri terhadap lirik dihasilkan.

“Tapi, lagu ini, memang jelas liriknya kedengaran lucah, bawa pengaruh negatif dan mengajak kepada sesuatu yang tidak elok.

“Yang menguatkan lagi sangkaan itu adalah gaya penyampaian penyanyi yang menyanyikan dengan cara yang menaikkan syahwat,” katanya lagi.

PENGARUH BURUK

Berbeza era 80-an, 90-an dan awal 2000, lagu sekarang mudah didengari dalam pelbagai platform. 

Kata Baiduri, tambah merisaukan apabila pengaruh lagu dua makna ini menyelinap masuk ke dalam fikiran kanak-kanak yang masih belum mampu menilai baik atau buruk.

“Bayangkan betapa tidak eloknya apabila budak kecil hafal dan nyanyikan lagu seperti ini. Kalau anak saya nyanyi lagu macam ini saya tak akan teragak-agak untuk tegur mereka sebab kita sendiri ada rasa malu bila mendengarnya.

“Lirik lagu membawa pengaruh yang besar kepada minda masyarakat, mengajak sama ada ke arah kebaikan atau keburukan. 

“Nescaya lagu-lagu lucah dan dua makna ini boleh menggalakkan sesiapa sahaja untuk melakukan perkara tidak bermoral. Jangan hairan apabila kes rogol meningkat.

“Kalau penulis ada perasaan malu, tentu dia tidak akan tulis lirik-lirik seperti ini. Saya harap lirik seperti ini tidak dihasilkan lagi,” katanya.

TEGURAN

Sebagai penggiat berpengalaman Penulis lirik lagu Anugerah nyanyian kumpuan Exist ini terpanggil memberi teguran terhadap isu berkenaan.

Baginya, teguran itu sebahagian tanggungjawab bukan sahaja sebagai penulis berpengalaman, tetapi juga yang beragama Islam.

“Kita tidak boleh bersubahat, kalau lagu seperti itu popular dan terus dinyanyikan, kita juga tanggung dosa kerana tidak memberi teguran.

“Jadi kena beri teguran dengan cara yang baik. Kita tak mahu dipersoalkan di akhirat kelak.

“Bukan mahu menutup periuk nasi orang lain, perkara yang salah kita perbetulkan,” kongsinya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN