KUALA LUMPUR: Pelakon, Pablo Amirul, berdepan detik cemas apabila berlaku kebakaran kecil di bahagian kanan pelamin pernikahannya ketika majlis berlangsung, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Pablo atau Amirul Hisyam Mohd. Sakri, 42, dilihat kekal tenang malah sempat ketawa apabila situasi tersebut berjaya dikawal dengan pantas oleh kru bertugas.
“Saya ini pelakon aksi, jadi memang biasa berdepan situasi mencabar. Saya tengok keadaan masih terkawal dan tidak berbahaya.
“Kalau meletup, lain ceritalah. Ketika itu, sudah tentu keutamaan saya adalah menyelamatkan isteri. Tapi kejadian itu jadi antara momen paling menarik,” katanya ketika ditemui media selepas majlis yang berlangsung di The Dove Hall, Jalan Tun Razak.
Insiden tersebut difahamkan berlaku semasa pasangan pengantin sedang menjalani sesi fotografi dengan menggunakan gimik letupan belon.
Tiba-tiba berlaku kebakaran kecil di bunga hiasan bahagian kanan pelamin, sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan tetamu.
Dalam pada itu, isterinya, Dr. Hana Rose, menyifatkan reaksi tenang suaminya sebagai satu ciri lelaki pelindung yang selama ini diidamkannya.
“Saya sudah lama berdikari sebagai seorang wanita. Akhirnya saya bertemu lelaki yang mampu melindungi saya. Walaupun wajahnya nampak garang, tetapi hatinya sangat damai,” katanya sambil tersenyum.
Majlis tersebut bukan sahaja meraikan penyatuan dua jiwa, malah turut diserikan dengan sambutan ulang tahun kelahiran Pablo yang jatuh pada 1 Februari.
Pablo menyifatkan kehadiran isteri dan anaknya, Ariana Rose, sebagai hadiah paling bermakna dalam hidupnya.
“Semalam hari jadi saya, hari ini kami bernikah. Ini hadiah terbaik yang pernah saya terima. Saya kini ada isteri, ada anak dan dikelilingi rakan-rakan yang sentiasa bersama saya dalam susah dan senang,” katanya.
Mengulas mengenai peranannya sebagai bapa kepada anak hasil perkahwinan terdahulu Dr. Hana, Pablo mengakui sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut.
“Allah sudah aturkan saya terus melangkah ke alam bapa. Saya gembira. Setiap hari saya berdoa untuk memiliki keluarga dan akhirnya Allah makbulkan.
“Anak panggil saya ‘Ayah’. Tak perlu ‘Daddy’, panggilan Ayah lebih klasik,” ujarnya.
Terdahulu, Pablo Amirul sah bergelar suami kepada Dr. Hana Rose dengan sekali lafaz kira-kira pukul 12.30 tengah hari. -UTUSAN










