KUALA LUMPUR: Syarikat audio terkemuka, Marshall Amplification melancarkan pembesar suara Emberton III Lunar New Year Edition 2026 bersempena sambutan Tahun Baharu Cina, sekali gus mengukuhkan lagi pengaruhnya dalam komuniti kreatif tempatan.
Edisi terhad itu dihasilkan menerusi kerjasama bersama artis dari China, FCCK, yang terkenal dengan sentuhan seni visual unik dalam dunia muzik dan vinil. Kolaborasi berkenaan menyatukan elemen seni kontemporari dengan teknologi audio mudah alih, menjadikan produk tersebut tampil berbeza daripada keluaran biasa.
Pelancaran tersebut turut mengangkat kempen Live Unbridled yang diinspirasikan daripada frasa Cina yang membawa maksud kebebasan tanpa batas. Konsep itu melambangkan semangat berani, tenaga dinamik serta dorongan untuk keluar daripada kebiasaan dalam menjalani kehidupan seharian.
Menurut Marshall, rekaan khas oleh FCCK menampilkan gabungan ilustrasi, corak grafik dan tipografi yang berani serta tidak konvensional. Hasilnya, pembesar suara ini bukan sahaja berfungsi sebagai peranti audio, malah menjadi karya seni yang mencerminkan identiti kreatif tersendiri.
Di Malaysia, hanya 50 unit Emberton III Lunar New Year Edition 2026 ditawarkan, sekali gus menjadikannya koleksi eksklusif sempena musim perayaan. Produk tersebut mengekalkan kualiti bunyi ikonik Marshall dalam reka bentuk mudah alih yang sesuai digunakan ketika kunjungan rumah dan pelbagai acara perayaan.

Pembesar suara itu akan mula dijual pada 7 Februari ini secara eksklusif di Against Lab, sama ada di premis Against Lab Pudu atau melalui platform dalam talian rasmi.
Bagi memeriahkan pelancaran, Against Lab turut menganjurkan bengkel penyesuaian couplet, sebagai menghargai tradisi masyarakat Cina menampal kata-kata harapan pada pintu rumah sempena Tahun Baharu Cina.
Berbeza dengan pelancaran produk Marshall sebelum ini yang melibatkan rangkaian kedai secara meluas, edisi terhad ini diperkenalkan melalui pendekatan lebih terpilih dengan memberi fokus kepada elemen seni, budaya dan ekspresi kreatif.
Langkah itu dilihat selari dengan peranan Against Lab sebagai platform yang menyokong eksperimen kreatif, selain menjadi ruang pertemuan antara seni, muzik dan budaya komuniti.










