Mana tahu bulan depan tiba-tiba kahwin - Azira Syafinaz - Utusan Malaysia

Mana tahu bulan depan tiba-tiba kahwin – Azira Syafinaz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA tahun dahulu, pelakon, Azira Shafinaz pernah mendedahkan kepada saya bahawa dia sebenarnya sudah mempunyai ‘folder khas’ yang menghimpunkan kriteria inspirasi majlis perkahwinan idamannya.

Jika mahu dibocorkan sedikit, ahli kumpulan De Fam ini mahu suasana outdoor wedding di puncak bukit, manakala tetamu yang datang pula berpakaian hitam. Memang sedikit ganjil, namun tidak mustahil.

Bagaimanapun, cita-cita majlis impian perkahwinan Azira atau Azira Shafinaz Ramlan nampaknya terpaksa ditangguhkan apabila hubungan cintanya bersama seorang jejaka yang berlangsung selama 12 tahun sudah menemui titik akhir.

Apabila sudah 34 tahun melalui jalan hidup yang diselang seli episod pertemuan dan perpisahan, wanita itu dilihat lebih tenang menerima sebuah selamat tinggal.

Jika difikir-fikir, orang secantik dan secekal Azira pasti ada sahaja sanggup beratur mencuba nasib. Mana tahu kalau-kalau cinta mereka diterima dengan tangan terbuka. Tetapi, dalam urusan jiwa dan perasaan penyanyi Supergirls itu tidak gopoh mengisi ruang hati yang kosong setelah penghuni lama beranjak pergi. Malah, ketika bertemu Pancaindera, Azira dengan wajah serius bertegas meyakinkan bahawa dirinya masih solo dan belum berniat menerima mana-mana hati lelaki.

“Impian mahu berkahwin mestilah ada, siapa yang tidak mahu berumah tangga. Tapi entah, mungkin jodoh saya belum sampai,” katanya tersenyum, selesa diajak berbual soal cinta, lagi pula kami tidak memaksa.

Tambahnya, ketika bercakap soal kahwin atau cinta, dia tidaklah berasa hampa sebaliknya berbaik sangka kepada takdir yang pasti akan memberikannya jejaka terbaik yang akan hadir pada masa dan waktu yang tepat.

“Sekarang ini saya hanya fikir, kalau jodoh itu ada, Alhamdulillah. Kalau belum lagi, saya hanya anggap mungkin Allah hendak selamatkan saya daripada perkara yang saya tidak tahu. Tapi sekarang, memang belum ada calon, masih solo namun gembira dengan kehidupan ini.

“Kalau bercakap tentang takdir, saya didik diri untuk percaya pasti ada sesuatu lebih baik Allah simpankan buat saya di masa depan. Contohnya, mana tahu kalau tiba-tiba bulan depan kahwin, Amin!” katanya berseloroh.

Tambahnya, entah mengapa soal kahwin antara topik popular yang ditanyakan kepadanya termasuklah ahli keluarga terdekat. Aktres itu bagaimanapun tidak terasa bahkan sudah lali dan menganggap itu hanya cara untuk memulakan perbualan. Tidak sampai menjejaskan mood atau kesihatan mentalnya.

Bertahun berlalu, ciri lelaki idaman tetap sama

Sebelum ini, Azira juga pernah berkongsi dia mendambakan jejaka yang memahami kerjaya serta seorang family man. Kami sengaja memancing Azira sengaja mahu lihat kalau-kalau kriteria itu masih sama atau sebaliknya.

“Masih sama. Saya memang mahukan seorang lelaki yang faham akan masa dan kerjaya saya. Bayangkan begini, saya sudah bekerja sejak zaman sekolah lagi jadi sudah terbiasa berdikari. Tidak suka bergantung hidup kepada orang lain. Tapi saya tahu, zaman sekarang hendak cari yang faham kita sangat susah.

“Juga ya, masih mahukan seorang family man. Dia mestilah lelaki yang boleh sayang saya serta keluarga. Tolong kalau kenal sesiapa ada ciri-ciri ini bolehlah beritahu saya ya,” katanya sekali lagi mengusik, bergurau ketawa.

Dalam pada itu, alasan lain mengapa gadis kelahiran Kuala Lumpur itu tidak terburu-buru mencari pasangan kerana mahukan yang terbaik. Ada rasa gusar kalau-kalau tersalah pilih dan terperangkap dalam hubungan yang serba toksik seperti yang banyak dihadapi wanita di luar sana.

“Saya fikir kita tidak boleh lawan takdir, juga pada masa sama kita kena tahu bahawa kita tidak boleh ubah orang. Jadi, saya fikir kalau ada terjebak hubungan toksik sila tinggalkan. Saya cakap ini bukan bermaksud ia mudah.

“Cuma saya mahu anda semua berani untuk bangkit dan pertahankan hak kita. Bukanlah dengan cara yang kurang ajar dengan suami, tapi lakukan yang terbaik untuk perjuangkan apa sepatutnya.

“Jangan biarkan kita terperangkap dalam kitaran toksik baik dalam perhubungan, persahabatan atau dalam keluarga,” katanya.

Kalau sebut sahaja nama Azira, sebenarnya dalam kepala kita sudah terbayang karakter ikoni sosok wanita kuat dan berdikari baik dalam One Cent Thief, Nafsu, Ijab Kabut dan lain-lain. Bagaimanapun, nampaknya ini kali pertama penonton bakal rasa marah dan tersiat apabila Azira bakal membawakan karakter Seri dalam Kerana Cinta Itu Dusta, seorang mangsa pukul suaminya yang dayus.

Sebuah pilihan dan aturan berbeza daripada pilihan karakternya sebelum ini, bagaimanapun Azira percaya, naskhah itu penting untuk dibawa ke depan khas untuk wanita yang mencari keberanian menuntut hak dan bangkit dari pengkhianatan.

“Memang betul watak saya didera, dipukul dan dikongkong oleh suami sampai tidak boleh ada kawan. Tapi kisahnya masih tentang pemerkasaan wanita sama seperti naskhah saya sebelum ini. Bukan hendak tunjuk wanita lemah.

“Tapi sebagai rujukan kepada wanita yang ada masalah rumah tangga. Ini bukan drama tipikal dan mesejnya sangat penting. Sebab itu, saya terima tawaran ini walaupun saya memang tidak pernah bawa karakter perempuan didera. Mencabar sebenarnya,” katanya.

Memori baju kurung Azira Shafinaz

Bercakap tentang dunia lakonan, pemenang Pelakon Wanita Komedi Terbaik di Asian Academy Creative Awards sentiasa percaya jodoh kerjayanya selalu berpanjangan. Tambah Azira, sebenarnya walaupun mula dikenali sebagai penyanyi menerusi De Fam, cinta utamanya tetap dunia lakonan.

Ditanya mengenai memori awal terlibat dalam bidang lakonan, siapa sangka Azira mempunyai kenangan manis dan lucu tentang baju kurung yang dipakainya semasa temu duga casting pertamanya sebagai pelakon bersama Erma Fatima beberapa tahun sudah.

“Ceritanya ada orang maklumkan ajak untuk saya sertai sesi casting, dia suruh pakai baju kurung sebab watak itu karakter perempuan kampung. Tapi bila sampai, rupanya saya seorang yang pakai baju kurung rasa macam sangat method. Saya pula sangat gementar sampai berpeluh maklumlah pertama kali.

“Waktu itu yang nilai uji bakat kak Erma. Saya masuk bilik uji bakat tidak fikir apa, menggigil tapi buat sahaja sehabis baik. Bila fikir, waktu itu rasa macam tengah campak diri sendiri dalam gaung. Habis terus keluar dengan perasaan hampa.

“Tapi rupanya saya lulus uji bakat itu. Saya yakin itu semua sebab baju kurung itu. Tapi malangnya, waktu terima berita itu saya di luar negara. Sangat sedih sebab tidak sempat jayakan drama itu.

“Pulang Malaysia saya jumpa dengan penerbit dan dia bagi peluang untuk cuba watak lain juga di bawah arahan Erma Fatima. Sejak itu saya mula serius dan berjinak dalam bidang lakonan,” katanya.

Bagi Azira, apa yang penting adalah proses manifestasi, iaitu kerap melafazkan keinginan dan bersungguh mendapatkannya. Segalanya akan dikabulkan hanya menunggu masa yang sesuai untuk kita mendapatkannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN