LONDON: Arsenal mengukuhkan kedudukan mereka di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila mencatat kemenangan 3-0 ke atas Sunderland di Stadium Emirates, sekali gus melebarkan jurang kepada sembilan mata di hadapan pencabar terdekat.
Skuad kendalian Mikel Arteta itu membuka tirai jaringan pada minit ke-42 menerusi rembatan Martin Zubimendi menewaskan penjaga gol Sunderland, Robin Roefs.
Penyerang sensasi Sweden, Viktor Gyokeres memastikan tiga mata penuh milik The Gunners apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-66 sebelum melengkapkan kemenangan dengan jaringan kedua peribadi pada masa kecederaan.
Kemenangan itu menyaksikan Arsenal semakin hampir untuk menamatkan kemarau kejuaraan liga yang berlarutan selama 22 tahun, selepas kali terakhir menjulang trofi liga pada musim 2003-2004.
Selepas tiga musim berturut-turut muncul naib juara, termasuk kegagalan mempertahankan kelebihan di puncak liga pada 2023 dan 2024, Arsenal kini dilihat berada di landasan terbaik untuk menamatkan penantian panjang penyokong mereka.
“Kami masih perlu memenangi banyak perlawanan untuk mencapai sasaran kami. Perjalanan masih jauh,” kata Arteta.
Sementara itu, Aston Villa terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas terikat 1-1 menentang Bournemouth, sekali gus menyaksikan mereka ketinggalan sembilan mata di belakang Arsenal.
Di Old Trafford, Manchester United meneruskan kebangkitan di bawah kendalian pengurus sementara, Michael Carrick apabila menewaskan Tottenham Hotspur 2-0, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap bos Spurs, Thomas Frank.
Kekalahan itu menyaksikan Tottenham jatuh ke tangga ke-14 liga dan hanya enam mata di atas zon penyingkiran, dengan rekod tanpa kemenangan liga mereka berlanjutan kepada tujuh perlawanan.
“Ia satu situasi yang sukar, namun kami perlu menghadapinya,” kata Frank.
Dalam perlawanan lain, Chelsea menewaskan Wolves 3-1 manakala West Ham meningkatkan peluang untuk kekal dalam liga utama selepas menundukkan Burnley 2-0.
Brentford pula mengejutkan Newcastle dengan kemenangan 3-2 di St James Park sekali gus menjejaskan peluang pasukan itu untuk bersaing merebut tempat ke kejohanan Eropah musim depan.
Everton turut mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Fulham hasil gol sendiri penjaga gol tuan rumah, Bernd Leno pada minit-minit akhir perlawanan. – AFP










