PETALING JAYA: Pelakon, Azhan Rani tampil menitipkan kata-kata semangat buat aktres, Amyza Aznan di atas pemergian anak sulungnya, Andre Mikhail, malam tadi.
Menurut Azhan, Amyza sudah melakukan sehabis baik sebagai seorang ibu meskipun masih terikat dengan jadual kerja yang padat sslain memuji ketabahan wanita itu.
“Aku tahu ramai sudah cakap tentang sabar, kuat, dan reda. Aku pun tahu kau sendiri lebih tahu jawapannya sebab kau yang berdepan dengan semua ini.
“Dari kita sesi penggambaran sama-sama lagi baru-baru ini aku tahu kau banyak simpan macam-macam yang kau tidak mahu tunjukkan pada orang lain.
“Di sebalik gurau gelak kau yang macam tak ada apa-apa setiap hari di set. Kamu sudah buat yang terbaik untuk dia. Selebihnya Allah yang punya kuasa,” katanya di Instagram.
Turut menitipkan doa agar rakan seperjuangannya itu diberikan kekuatan, pelakon drama Nur tersebut berharap agar arwah Andre Mikhail ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Apa pun aku cuma doakan saat ini Allah peluk kau, anak-anak dan seluruh ahli keluarga kau. Semoga juga Allah sediakan tempat terbaik untuk Andre Mikhail bersama orang-orang yang beriman.
“Syurgalah tempatnya. Maaf tak dapat nak menziarahmu saat ini kerana masih ada sesi penggambaran di Sarawak. Ada rezeki nanti aku ziarah mu.
“Moga dimudahkan serta lancar segala urusan,”tulisnya.
Pada Isnin, Amyza memaklumkan anaknya, Andre Mikhail telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur pada jam 10.15 malam selepas setahun berjuang melawan kanser paru-paru.










