Jason Statham tonjol sisi berbeza dalam Shelter - Utusan Malaysia

Jason Statham tonjol sisi berbeza dalam Shelter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nama pelakon antarabangsa, Jason Statham bukanlah asing dalam dunia filem bergenre aksi di Hollywood. Memiliki karisma yang tinggi dan gaya bersahaja, Statham kini tampil berbeza menerusi filem Shelter arahan Ric Roman Waugh.

Bakal ditayangkan pada 29 Januari ini,  Shelter mengisahkan tentang seorang lelaki yang hidup di sebuah pulau terpencil yang menjadi penyelamat seorang gadis kecil daripada ribut, sekali gus mengheret mereka berdua ke dalam bahaya.

Memegang watak sebagai Mason, Statham menyifatkan naskhah ini memiliki kekuatan tersendiri dari segi keseimbangan lagak aksi dan emosi yang mendalam.

Menerusi filem ini, Statham juga digandingkan dengan beberapa barisan pelakon hebat yang lain seperti Bodhi Rae Breathnach, Naomi Ackie dan Bill Nighy. 

Dalam sebuah sesi temubual eksklusif, pelakon berusia 58 tahun itu merungkai fakta menarik mengenai filem tersebut.

 

Gandingan Ideal Bersama Pengarah

Menurut Statham, latar belakang Ric sebagai pelakon lagak ngeri dan seorang pengarah yang baik membuatkan dirinya mudah untuk menjayakan sesuatu babak dengan penuh emosi menerusi naskhah ini.

“Apabila bekerja dengan pengarah yang bagus, segalanya menjadi mudah untuk meletakkan diri sepenuhnya dalam momen tersebut, terutamanya dalam babak tertentu. 

“Selaku pengarah, Ric mempunyai pengetahuan yang luas dalam menghasilkan filem aksi. Begitu juga saya. Saya rasa gandingan kami sangat ideal,” katanya.

Gabungan Aksi Dan Emosi Yang Semula Jadi

Tambah Statham, hampir setiap babak aksi dalam filem Shelter ini digerakkan oleh emosi secara semula jadi agar tidak kelihatan klise ataupun murahan

“Hasil kerjasama dengan pengarah, kami berdua tahu apa yang kami mahukan. Kami tahu apa yang perlu dilakukan agar tidak kelihatan murahan, apa yang akan berkesan dan idea kami sehaluan. 

“Jadi, kami menyusun koreografi semua babak aksi dan cuba menghasilkan sesuatu yang menarik dan mendebarkan,” jelasnya.

Cabaran Bintangi Filem Shelter

Ditanya tentang cabaran terbesar membawakan watak Mason, Statham menganggap tiada istilah ‘kurang mencabar’ dalam filem aksi bahkan, dia sentiasa cuba sedaya upaya membawakan sesuatu watak ke tahap maksimum dalam setiap projek.

Kongsinya, antara adegan paling mencabar termasuk babak melibatkan air di mana dia ditarik ke dasar tangki, berpura-pura lemas, bergelut dengan ombak besar di laut, serta adegan kapal tenggelam.

“Untuk babak-babak ini, kita perlu menjadi perenang yang baik. Kemahiran seperti itu tidak dipelajari pada hari penggambaran mahupun seminggu sebelum penggambaran. Kemahiran itu perlu dikuasai dengan menjalani latihan bertahun-tahun,” katanya.

 

Kelainan Watak Menerusi Shelter

Walaupun telah banyak membintangi filem aksi ikonik, Statham mengakui Shelter menonjolkan sisinya yang berbeza menerusi genre aksi ‘thriller’.

Katanya, genre filem tersebut menjadikan filem tersebut terasa lebih matang dan beremosi berbanding naskhah yang pernah dijayakan sebelum ini. 

“Kebanyakan filem yang saya lakukan tidak mempunyai genre sebegini. Filem ini menjurus kepada jalan cerita yang lebih dramatik yang realistik,” kongsinya.

Keserasian Bersama Bodhi Rae Breathnach

Berkongsi mengenai keserasian bersama pelakon gandingannya, Bodhi Rae Breathnach, Statham memaklumkan ia sudah terbina sejak sesi uji bakat bermula. 

“Dia memenangi hati semua orang dengan persembahan yang luar biasa. Dia benar-benar menonjol berbanding yang lain. 

“Dengan personaliti yang kuat, tenang dan mudah untuk bekerjasama membuatkan saya tidak gentar untuk digandingkan dengannya. Dia mempunyai banyak idea dan keyakinan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN