KUALA LUMPUR – Kumpulan popular tempatan, Insomniacks kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan single terbaharu berjudul ‘Bersuara’ hasil kolaborasi bersama Yonnyboii.
Lagu tersebut menandakan fasa baharu buat kedua-dua artis apabila tampil dengan bunyi lebih berat dan agresif, selain membawa naratif tentang kepentingan menyuarakan perasaan serta mempertahankan harga diri.
Menurut Insomniacks, ‘Bersuara’ tercetus daripada pengalaman peribadi berdepan perasaan tidak didengari dan tekanan emosi yang sering dipendam, khususnya apabila suara dan pandangan diketepikan.
“Lagu ini tentang berdiri untuk diri sendiri, terutama apabila berdepan dengan penindasan atau buli. Ia tentang tahu nilai diri dan berani bersuara,” jelas mereka.
Menurut mereka, lagu itu juga membawa mesej jelas tentang keberanian berdiri untuk diri sendiri, terutama dalam situasi penindasan dan buli, selain mengingatkan pendengar tentang nilai diri.
Dari sudut muzik, ‘Bersuara’ menampilkan sisi lebih ‘heavy’ dan ‘gritty’ berbanding karya balada yang sinonim dengan Insomniacks sebelum ini, sekali gus memperlihatkan perkembangan semula jadi perjalanan muzik kumpulan itu.
Kolaborasi bersama Yonnyboii menjadi nadi utama lagu tersebut apabila artis berkenaan menyumbang penulisan ‘hook’ serta membawa energi mentah yang menambah kekuatan dan karakter lagu.
“Yonny ialah jiwa kepada lagu ini. Dia menulis hook dan membawa satu energi yang mentah dan berani. Dia tambah ‘grittiness’ yang menjadikan ‘Bersuara’ lebih hidup,” jelas Insomniacks.
Yonnyboii berkata, ‘Bersuara’ merupakan luahan peribadi yang dekat dengan dirinya, terhasil daripada perasaan tidak didengari dan dijadikan medium untuk membina keyakinan menyuarakan kesusahan yang dialami.

Menariknya, Yonnyboii turut mempamerkan sisi vokal berteraskan rock dan alternatif yang lebih dekat dengan jiwanya, berbeza daripada gaya rap yang sering dikaitkan dengan namanya sebelum ini.
Jelas Yonnyboii, proses kolaborasi bersama Insomniacks disifatkan sebagai pengalaman menyeronokkan dan bebas tekanan.
“Kerja dengan mereka sangat fun. Tak stress langsung. Saya harap dapat bekerjasama lagi dengan mereka pada masa akan datang,” katanya.
‘Bersuara’ boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 6 Februari 2026.










