Guna duit sendiri tayang kemewahan, bukan berhutang dengan orang - Shima Anuar - Utusan Malaysia

Guna duit sendiri tayang kemewahan, bukan berhutang dengan orang – Shima Anuar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon wanita, Shima Anuar, mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan paparan kemewahan segelintir individu di media sosial yang berlagak kaya, sedangkan hakikat sebenar di sebalik tabir jauh berbeza daripada apa yang dipamerkan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Shima berkata, gaya hidup mewah yang ditonjolkan di platform sosial tidak semestinya mencerminkan kedudukan kewangan sebenar seseorang.

Malah, ada individu yang sanggup berhutang dan meminjam wang orang lain demi mengekalkan imej glamor dan mewah.

“Jangan mudah percaya apa yang ditunjukkan di media sosial. Ada yang mempamerkan kehidupan mewah, barangan berjenama dan percutian eksklusif, tetapi di belakang tabir gemar meminjam wang orang lain dan gagal melunaskan hutang.

“Sikap sedemikian bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah memberi kesan besar kepada individu yang memberi pinjam wang kerana kebanyakan mereka mencari rezeki dengan susah payah.

“Wang yang dipinjam itu bukan datang bergolek. Ia hasil titik peluh orang lain. Jika tidak mampu hidup mewah, jangan paksa diri dan menyusahkan orang sekeliling,” ujarnya.

Tambah Shima, masyarakat hari ini perlu lebih bijak menilai realiti sebenar dan tidak menjadikan media sosial sebagai ukuran kejayaan atau kekayaan seseorang.

“Media sosial boleh menjadi medan propaganda. Apa yang dipamerkan tidak semestinya benar. Kita bimbang orang lain pula menjadi mangsa, terpedaya dengan imej palsu dan akhirnya mengalami kerugian besar.

“Kalau mahu tayang kemewahan pun, gunakan wang sendiri, jangan berhutang semata-mata mahu kelihatan mewah. Kejujuran dan tanggungjawab jauh lebih bernilai daripada sekadar penampilan luar,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai isu individu berhutang RM1 juta, Shima mengakui terkilan kerana pemiutang masih belum melunaskannya sehingga kini walaupun kes tersebut telah berlarutan lebih dua tahun.

Menurut Shima, dia dan suaminya berhak mendapatkan semula wang berkenaan, namun sehingga hari ini masih tiada sebarang bayaran dibuat walaupun pelbagai usaha telah diambil bagi menyelesaikan perkara itu secara baik.

“Perkara ini sudah bertahun-tahun berlaku. Kami sudah berbincang dengan baik, beri ruang dan peluang, namun langsung tiada maklum balas. Bukan niat kami untuk mendedahkan perkara ini, tetapi kami sudah tiada pilihan lain.

“Kami sangat marah dan kecewa. Wang sebanyak itu bukan mudah untuk dikumpul,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Shima menjelaskan individu terbabit bukan rakan rapat, sebaliknya hanya dikenali melalui orang tengah yang mempunyai kaitan dengan rakan kontraktor mereka. Wang berkenaan dibayar ketika pembinaan rumah mereka semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ketika itu kerja sering tertangguh akibat sekatan, jadi kami bersetuju membayar wang tambahan supaya kerja dapat disiapkan dengan lebih cepat. Secara keseluruhan, kami membayar lebih daripada RM1 juta,” katanya.

Namun, Shima berkata hasil kerja yang diterima tidak setimpal dengan jumlah dibayar. Lebih mengecewakan, wang tersebut didakwa digunakan untuk kepentingan peribadi.

“Individu itu sendiri mengaku menggunakan wang tersebut untuk tujuan ‘rolling’ sepanjang tempoh PKP. Kami benar-benar berasa tertipu. Sehingga kini, tiada bayaran dibuat,” katanya.

Tambah Shima, suaminya yang bersifat lembut hati pada awalnya hanya memberi bayangan dan cuba menyelesaikan isu tersebut secara tertutup. Namun, selepas nasihat daripadanya, mereka memilih untuk bertindak lebih tegas.

” Pihak tersebut sudah memperoleh arahan mahkamah, tetapi masih enggan membayar. Itu yang membuatkan saya semakin geram kerana wang tersebut boleh digunakan untuk pelbagai keperluan keluarga.

“Kami sudah banyak bertolak ansur. Jika tidak mampu bayar sekaligus, bayarlah secara ansuran. Tetapi langsung tiada bayaran. Pernah sekali dalam tempoh empat bulan dibayar sedikit, itu pun jumlahnya terlalu kecil. Sampai bila kami perlu menunggu bayaran hampir RM1 juta ini?” katanya.

Terdahulu, Shima membuat pendedahan di Instagram mengenai kegagalan individu yang  merupakan seorang kontraktor membayar hutangnya bernilai RM1.5 juta.

Tidak cuma itu, Shima juga mendedahkan mengenai beberapa individu lain yang turut berhutang dengannya dan gagal membayar semula.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN