KUALA LUMPUR:Pempengaruh dan selebriri media sosial, Aleeya Zailan mengakui sedar dirinya menjadi bahan tohmahan warganet gara-gara keputusannya menceburi perniagaan batu permata baru-baru ini.
Malah, kata Aleeya, dia juga sedar ada yang menuduh dirinya sebagai wanita riak hanya kerana menunjukkan barangan kemas tersebut di platform media sosialnya.
“Habis itu, saya jual barang kemas, mahu harapkan saya tunjuk apa gamaknya. Tentunya saya pakai atau peraga batu permata termasuk berlian, jika itu barang dagangan atau jualan yang diketengahkan.
“Dalam hal ini, tiada istilah saya bersikap riak atau suka menunjuk. Paling tepat penggunaan bahasa dalam situasi ini ialah menghargai keindahan batu pertama ini semua,” katanya.
Jelas Aleeya Avenys lagi, dia bagaimanapun tidak terasa hati dengan kecaman seumpama itu.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya sudah mula masak dengan permainan laman maya ini.Namun, dalam masa sama, saya tetap berhati- hati supaya tidak mengundang perkara tak diingini.
“Sebenarnya, semua berlaku tanpa dirancang. Bagi saya, berlian dan permata umpama teman akrab golongan wanita. Macam lagu mendiang Marilyn Monroe berjudul Diamonds Are a Girl’s Best Friend.
“Dalam erti kata lain, saya sudah mula ‘tersuka’ dan ‘terjatuh hati’ dengan barang kemas terutama berlian. Dari membeli dan mencari berlian terbaik untuk diri sendiri, akhirnya jadi geram sampai terbeli dalam kuantiti banyak.
“Kemudian suka pula batu permata. Lama- kelamaan, asyik fikir dan menikmati keindahan barang kemas, tercetus rasa serta keputusan untuk menceburi perniagaan ini. Lebih istimewa saya reka sendiri barang kemas yang diingini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Aleeya Avenys mengakui masih bersarang rasa sedih dan ralat apabila akaun Instagram (IG) peribadinya dengan jumlah lebih 900,000 digodam sebelum ini.
“Sedih memang sedih kerana IG itu banyak kenangan. Termasuklah mengumpul ramai peminat dan pelanggan. Menerusi IG itu juga saya perlahan demi perlahan meluaskan empayar diri serta pengaruh perniagaan.
“Saya ada juga usaha untuk mendapatkan akaun IG itu balik. Tapi macam agak sukar. Akhirnya macam kena reda saja. Ada juga buat akaun IG baharu, tapi berjaya kumpul sedikit saja pengikut sekitar lebih 2,000.
“Saya kini banyak guna medium Facebook dan TikTok saja. Tapi kebelakangan ini lebih kepada Facebook (Avenys) termasuk buat ‘live’ kerana banyak sangat kekangan di TikTok. TikTok perniagaan saya sendiri sudah empat kali diharamkan.
“Akibatnya, sampai wang syarikat saya di bawah akaun TikTok itu pun lesap. Sudah banyak kali buat aduan dengan pihak TikTok tapi semuanya berakhir dengan kehampaaan,” Katanya.
Selain itu, jelas Aleeya Avenys, dia juga mengakui pernah memperlahankan kerancakan bersiaran langsung di media sosial kerana penyakit ain.
“Sebab itu juga juga saya guna khidmat hos siaran langsung. Kita tak pernah tahu apa yang ada dalam hati orang yang mungkin iri dan cemburu. Jadi saya ambil langkah berjaga-jaga untuk tidak terlalu menonjol.
“Cuma kebelakangan ini saya mula rasa senangat balik nak aktif di media sosial termasuklah buat vlog untuk dimuat naik di TikTok dan platform media sosial lain.
“Macam baru-baru ini saya ada buat vlog semasa bercuti di benua Antartika selama tiga minggu bersama suami. Percutian mewah itu pun mencuri perhatian netizen apabila ada yang menyamakan kos ke sana macam pakej VIP menunaikan haji. Macam – macam lagilah telahan netizen, tapi saya sudah Imun,” katanya.










