Firdaus Karim buka bicara eksploitasi atas nama agama - Utusan Malaysia

Firdaus Karim buka bicara eksploitasi atas nama agama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seakan masih segar lagi dalam ingatan bagaimana aktor Azhan Rani mencipta gelombang kebencian dalam kalangan penonton gara-gara lakonannya sebagai Ustaz Hamadi dalam drama berjudul Nur.

Kini, selepas sembilan tahun, muncul pula watak ustaz baharu yang mengundang gelombang ‘panas’ sama seperti yang dilalui oleh Azhan. Di tengah-tengah bahang kecaman dan caci maki itu, berdiri seorang pelakon yang tenang menerima segala tempias iaitu Firdaus Karim, insan di sebalik karakter Ustaz Irfan dalam drama sensasi Doa Yang Terlindung yang disiarkan di TV3 baru-baru ini.

Fenomena itu bukan dirancang, jauh sekali dicari. Namun Firdaus mengakui, sejak hari pertama membaca skrip, dia sudah dapat merasakan ‘gelora’ yang bakal melanda.

“Terus-terang, apabila sudah baca skrip itu, saya memang gementar. Waktu itu kita faham jalan ceritanya dan kita boleh agak watak-watak dalam cerita ini akan menerima pelbagai reaksi. Saya sedar dari awal bahawa ini bukan watak biasa. Ini satu tanggungjawab besar sebab saya perlu bermain dengan karakter yang ada banyak lapisan.

“Irfan itu sendiri bukan hitam putih. Dia ada konflik dalaman, ada sisi manipulatif, ada sisi yang mungkin orang tidak nampak pada awalnya. Sudah tentu tekanan itu ada, tetapi masa itu saya cakap pada diri sendiri, buat yang terbaik tanpa ada jangkaan, tanpa fikir orang suka atau benci. Saya cuma fikir tentang amanah untuk hidupkan watak itu sejujur mungkin,”katanya.

Ternyata jangkaannya tepat. Ustaz Irfan menjadi antara watak paling ‘dibenci’ penonton tahun ini. Setiap kali muncul di layar, emosi penonton membuak-buak. Ada yang mengaku menyampah, ada yang menganggap watak itu keterlaluan.

Pun begitu, Firdaus tidak tersinggung, malah melihatnya daripada sudut berbeza.

“Saya tidak tahu, tapi ada orang pernah cakap pada saya, kalau orang menyampah itu maknanya watak itu menjadi. Kalau dinilai begitu, saya terima saja. Sebab bagi saya, rasa menyampah itu bukan kepada saya sebagai Firdaus, tapi kepada karakter Irfan.

“Itu bermakna penonton percaya dengan apa yang mereka lihat. Mereka rasa marah, rasa kecewa, rasa tertipu bersama watak-watak lain. Itu tanda emosi mereka terusik. Sebagai pelakon, kita mahu wujudkan rasa itu,”ujarnya.

Bagaimanapun, tegasnya, intipati drama tersebut bukan sekadar mahu memaparkan sisi gelap seorang agamawan.

“Apa yang kita cuba bawakan bukan semata-mata cerita tentang orang yang ambil kesempatan atas nama agama. Itu hanya satu lapisan. Yang lebih penting, kita mahu tekankan isu mengenai mangsa-mangsa keadaan. Tidak ramai orang bercakap tentang mereka, ahli keluarga yang terkesan, teman sekerja yang terperangkap, individu yang terpedaya sebab terlalu percaya.

“Drama ini sebenarnya mahu tunjuk macam mana golongan ini berhadapan dengan situasi tersebut. Kita mahu buka ruang perbincangan, bukan menghukum mana-mana pihak,”katanya.

Pada masa sama, Firdaus juga mengakui kewujudan golongan agamawan yang disifatkan tergelincir dalam realiti tanggungjawab dan amanah, namun menegaskan mereka hanyalah minoriti.

Pun begitu, dia tidak menolak bahawa, kepincangan yang dilakukan minoriti ini menyebabkan ramai pihak tersalah anggap dan skeptikal terhadap golongan agamawan.

“Sedikit sebanyak mereka memberi reputasi negatif kepada agamawan yang betul-betul memikul tanggungjawab dengan amanah. Saya rasa masyarakat perlu lebih peka dan sensitif. Jangan terlalu mudah menerima apa yang diucapkan tanpa buat penelitian.

“Niat kita mungkin baik, kita mahu beramal, hendak berubah jadi lebih baik. Tapi dalam zaman sekarang, ada saja orang yang salah guna niat baik itu. Realiti itu memang ada, dan kita tidak boleh tutup mata. Kalau ada yang rasa cerita ini mirip dengan situasi tertentu, itu mungkin sebab kejadian-kejadian seperti ini memang wujud dalam masyarakat.

“Cuma saya mahu tegaskan, ia hanyalah kebetulan jika ada persamaan. Kita tidak merujuk kepada mana-mana individu. Cuma sebagai pembikin dan pelakon, kita nampak isu ini ada dalam masyarakat, jadi kita rasa perlu angkat cerita ini supaya orang boleh fikir dan nilai sendiri,”katanya.

Raih penonton bukan Muslim

Lebih menarik, bagi Firdaus, drama tersebut yang telah melabuhkan tirainya sebelum Ramadan menjelma menyuntik satu kebetulan yang signifikan.

“Saya memang sokong drama yang ada mesej. Saya berterima kasih kepada pihak stesen sebab berani ambil risiko untuk siarkan cerita seperti ini. Kita tahu bukan semua cerita mudah diterima.

“Tetapi saya harap sedikit sebanyak drama ini memberi manfaat kepada masyarakat, tidak kira Muslim atau bukan Muslim. Sebenarnya, drama ini pun dapat banyak respons daripada penonton bukan Muslim.

“Mereka kata cerita ini membuka mata mereka tentang isu eksploitasi atas nama agama. Ada yang cakap mereka jadi lebih berhati-hati. Itu bagi saya satu impak yang besar.”

Bercakap tentang kontroversi, Firdaus bukan wajah asing dalam naskhah yang mencetuskan perdebatan. Sebelum ini, dia terlibat dalam filem seperti Imaginur, Mentega Terbang, Anwar: The Untold Story dan The Cursed Land.

Bagaimanapun, kata pelakon berusia 44 tahun ini, dia tidak menganggap kesemua naskhah lakonannya itu termaktub sebagai naskhah kontroversi.

“Ada orang label semua itu sebagai filem kontroversi. Bagi saya istilah kontroversi itu tidak wujud. Setiap naskhah ada sudut pandang dan mesej tersendiri. Ada yang kutipannya sampai puluhan juta ringgit, ada yang jadi bahan perbincangan panjang.

“Tetapi akhirnya, semua itu beri pengajaran kepada saya. Ia membentuk cara saya berfikir, pendirian saya sebagai anak seni dan sebagai individu,”ujarnya.

Puji industri drama dan filem lebih berani

Firdaus yang mula aktif di hadapan kamera sejak 2019 selepas pengalaman di belakang tabir dalam produksi dan rekaan turut melihat seni sebagai sesuatu yang lebih besar daripada sekadar hiburan.

“Saya selalu cakap, seni itu bukan semata-mata hiburan. Filem dan drama bukan hanya untuk buat orang ketawa atau menangis. Ia medium visual yang sangat kuat. Ia boleh menyam­paikan mesej, boleh mem­bentuk cara fikir, boleh buka ruang dialog dalam masyarakat.

“Saya harap mentaliti bahawa seni ini hanya hiburan kosong dapat diubah perlahan-lahan. Seni sebenarnya ada peranan penting dalam pembangunan masyarakat, terutamanya daripada segi minda dan rohani.

“Kita kena tahu apa yang sedang dilalui masyarakat, apa yang mereka boleh terima dan apa yang bermain dalam fikiran mereka. Daripada respons dan maklum balas itulah kita boleh hasilkan naskhah yang lebih bermakna. Sekarang dengan kemajuan teknologi dan media sosial, semuanya bergerak pantas. Industri kreatif pun tak boleh lagi berselindung. Kita kena lebih berani dan terbuka mengangkat realiti,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN