KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Abdul Jamil atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi, turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian anak kepada pelakon, Amyza Aznan iaitu Andre Mikhail, 23.
Menurut Zed, seluruh warga Seniman amat tersentuh dan berdukacita dengan berita pemergian tersebut, terutama dalam mengenangkan ujian berat yang telah lama ditanggung oleh keluarga artis berkenaan.
“Pihak Seniman ingin merakamkan ucapan takziah kepada Amyza Aznan dan seluruh ahli keluarganya atas pemergian anakanda tercinta, Andre Mikhail.
“Sesungguhnya pemergian ini amat menyedihkan dan memberi kesan yang mendalam kepada kami semua, khususnya dalam kalangan rakan-rakan artis yang mengenali Amyza dan arwah anaknya.
“Amyza merupakan seorang anak seni yang berpengalaman dan telah banyak berjasa kepada industri hiburan tanah air.
“Selain aktif sebagai pelakon, dia juga sering terlibat dalam pelbagai program serta bengkel anjuran Seniman sebagai seorang pendidik yang berkongsi ilmu dan pengalaman dengan generasi baharu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Tambah Zed lagi, Seniman sentiasa memberikan sokongan moral kepada Amyza, lebih-lebih lagi ketika pelakon itu berdepan pelbagai cabaran dalam kehidupan peribadi.
“Sepanjang kami mengenalinya, Amyza bukan sahaja komited dalam kerjaya seni, malah tabah menghadapi pelbagai ujian kehidupan.
“Apa yang berlaku dalam keluarganya sangat menyentuh hati kami. Ujian yang ditanggung bukan sahaja melibatkan anak pertama, malah anak kedua turut melalui situasi yang hampir sama.
“Dalam masa yang sama, suaminya juga berdepan masalah kesihatan, menjadikan Amyza sebagai seorang ibu, isteri dan artis terpaksa memikul tanggungjawab yang amat berat. Keadaan ini benar-benar menguji kekuatan fizikal dan emosi beliau,” ujarnya.
Sehubungan itu, Zed berkata, kehadiran rakan-rakan artis dan warga Seniman di majlis pengebumian anaknya pda hari ini bertujuan memberikan sokongan moral agar Amyza terus kuat menghadapi ketentuan Ilahi.
“Kami hadir sebagai rakan seperjuangan dalam industri seni untuk memberikan sokongan moral dan semangat kepadanya dan keluarga. Kami mahu Amyza terus kuat dan tabah menerima ujian ini dengan penuh keimanan.
“Pada masa yang sama, kami berharap agar dia tidak kehilangan semangat untuk terus berkarya dalam industri hiburan. Amyza merupakan seorang artis yang berbakat dan kehadirannya masih diperlukan untuk terus menyumbang serta menghiburkan masyarakat.
“Walaupun berdepan ujian yang amat berat, kami percaya dengan sokongan rakan-rakan artis serta doa daripada seluruh rakyat Malaysia, dia akan terus diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan dan kerjayanya,” katanya.
Zed turut menegaskan bahawa semangat setiakawan dalam kalangan penggiat seni perlu diteruskan bagi memastikan kebajikan artis sentiasa terpelihara, terutama ketika mereka berdepan detik sukar.
“Kami di Seniman akan sentiasa berdiri bersama ahli-ahli kami, bukan sahaja dalam keadaan senang, tetapi lebih-lebih lagi ketika mereka diuji. Inilah semangat kekeluargaan yang kami pegang dalam Seniman.
“Kami mendoakan agar roh Allahyarham Andre Mikhail dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman, serta Amyza sekeluarga dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian ini,” katanya.
Terdahulu, jenazah Andre Mikhail telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Ukay Perdana kira-kira pukul 10.40 pagi tadi.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur sekitar 10.30 malam semalam selepas setahun melawan kanser paru-paru.
Tidak terhenti di situ, kehidupan Amyza juga terus teruji selepas pelakon itu memaklumkan anak keduanya, Adrian Adam disahkan menghidap kanser tulang.










