Siapa yang tidak kenal dengan Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Al-Hadad.Bukan sahaja sinonim dengan muzik hip hop berlapik pemikiran, malah kini turut dikenali sebagai wakil rakyat.
Daripada pentas seni ke Dewan Undangan Negeri, Altimet membuktikan perjalanan hidupnya tidak terhenti dalam satu dunia sahaja.Bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor bagi kawasan Lembah Jaya (N20) sejak tiga tahun lalu, Altimet menggalas tanggungjawab besar menjaga kawasan yang berdepan pelbagai cabaran sosioekonomi.
Transisi daripada dunia seni kepada politik membuka fasa baharu yang menuntut komitmen sepenuh masa dan kesabaran tinggi.
Berpeluang bertemu mata dengan Altimet, Pancaindera melayangkan beberapa pertanyaan mengenai kehidupan dan kerjayanya kini walaupun ramai tahu, mana mungkin Altimet mampu melupakan sepenuhnya dunia muzik dan industri seni.
Sejak bergelar YB ini, tentunya jadual Altimet semakin sibuk, betul tidak?
Boleh dikatakan begitu.Saya sibuk dengan kerja. Sekarang ini saya dah bergelar kakitangan kerajaan. Alhamdulillah, buat pertama kali dalam hidup, gaji saya naik pada usia 45 tahun dan saya dapat kerja tetap. Itu satu benda yang saya sangat syukuri. Menjadi wakil rakyat di kawasan Lembah Jaya adalah antara yang mencabar sebab lebih 40 peratus penduduknya adalah golongan B40. Jadi banyak isu sosioekonomi yang perlu diberi perhatian. Fokus saya memang ke arah membantu dan menolong masyarakat setempat.
Bila beralih daripada komuniti seni kepada dunia politik, apa perbezaannya?
Sebenarnya ada persamaan dan perbezaan. Persamaannya, dua-dua berhadapan dengan orang ramai dan dua-dua kena kecam. Itu dah biasa. Masa kerja pun tak tetap. Ada hari kerja pagi sampai pagi, ada hari kurang sikit. Banyak perkara berlaku di sebalik tabir yang orang tak nampak, sama macam industri hiburan.Dalam politik, gaji tetap dan kita bekerja untuk organisasi yang bukan syarikat dan tak kejar keuntungan. Kerja kita bukan untuk buat duit, tapi untuk belanjakan duit. Kalau dapat peruntukan dan tak habiskan, itu tanda kita tak buat kerja. Dalam syarikat pula, makin banyak duit dibelanjakan hujung tahun, makin bagus. Politik ini terbalik sikit.
Dari segi kepuasan kerja?
Dalam seni, orang buat benda ikut kepuasan diri. Dalam politik, kita tak boleh fikir kepuasan diri langsung. Kita kena puaskan keperluan orang lain dan tolong sebanyak mungkin. Itu perbezaannya. Tetapi saya sangat ‘enjoy’. Sebab saya masuk bidang yang saya tak tahu dan tak berpengalaman. Banyak benda baru nak belajar. Dalam muzik, saya rasa saya dah belajar banyak sampai satu tahap jadi kurang mencabar. Bila masuk politik dan orang sangsi dengan kemampuan kita, itu memang pembakar semangat.
Ada perubahan dari segi pergaulan atau layanan orang terhadap Altimet?
Saya rasa diri saya tak berubah banyak. Kalau tanya kawan-kawan lama, mereka akan kata saya masih sama. Cuma layanan orang kepada saya memang ada perbezaan.Saya pun cuba kurangkan penggunaan gelaran ‘YB’ kecuali dalam majlis rasmi yang ada protokol. Kalau bukan majlis rasmi, saya santai. Sampaikan ada ahli politik sindir saya,kata saya ‘sempoi’ sangat sebab ke mana-mana tak ada pengawal.
Pernah timbul situasi pelik?
Pernah. Kadang-kadang saya singgah surau atau masjid untuk solat. Saya cakap, ini ibadat, bukan politik. Saya datang nak solat, bukan berkempen. Ada tempat memang perlu ada protokol, tapi kalau boleh, kita kurangkan supaya kita boleh dekat dengan rakyat.Kalau anak muda pula,ada yang panggil saya ‘YB bro’. Ada ahli politik lain marah, tapi bagi saya kalau dia rasa selesa, itu bukan satu penghinaan. Itu tanda dia rasa dekat. Saya tak nak ada jurang antara pemimpin dan orang muda, terutamanya generasi yang membesar dengan media sosial.
Dari segi pencapaian, apa yang Altimet dah capai setakat ini sejak bergelar wakil rakyat?
Tak semua benda boleh dicapai seratus peratus. Fokus setahun lebih ni memang kebajikan. Banyak bantu orang isi borang zakat dan kebajikan masyarakat, bagi kerusi roda. Tahun ni banyak kes tertunggak dah selesai.Tahun ini fokus kepada anak muda. Melalui sukan dan aktiviti komuniti seperti badminton, sepak takraw dan silat. Saya sokong hampir semua kampung dan taman perumahan. Silat ni positif sebab ada disiplin, warisan dan komuniti.









