KUALA LUMPUR: Selebriti popular, Noor Neelofa menjelaskan video tular yang memaparkan wajah anak sulungnya, Muhammad Bilal, merupakan rakaman lama yang dimuat naik sekitar dua tahun lalu.
Neelofa, 37, mengakui terkejut apabila klip berkenaan kembali menjadi bualan hangat dalam kalangan pengguna media sosial, sedangkan video tersebut dirakam ketika Bilal berusia dua tahun dan kini kanak-kanak itu sudah mencecah usia empat tahun.
“Video itu sebenarnya video dua tahun lalu. Ketika itu Bilal berumur dua tahun dan sekarang dia sudah empat tahun. Saya dan suami terkejut apabila video lama itu kembali tular di media sosial. Video tersebut memang saya sendiri yang muat naik sebelum ini,” katanya.
Neelofa berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan kandungan Ramadan Astro yang berlangsung di Astro Bukit Jalil, semalam.
Mengulas lanjut, Neelofa berkata, dia lebih selesa untuk terus tidak mendedahkan wajah anak-anaknya kepada umum sehingga mereka dewasa kerana langkah itu memberi ketenangan buat dirinya dan keluarga.
“Sebenarnya saya sangat gembira tidak terlalu mendedahkan wajah anak-anak. Itu memberi ketenangan kerana netizen tidak boleh nak komen, tidak perlu membuat perbandingan dan bercakap macam-macam. Perkara ini akan berterusan sehingga mereka besar. Ketika masih kecil ini, biarlah seperti sekarang, tak perlu tunjuk,” ujarnya.
Tambah Neelofa, dia juga tidak menutup wajah anak-anaknya ketika berada di tempat awam dan membiarkan keadaan berlaku secara semula jadi.
“Kalau di luar, saya tidak tutup pun muka anak-anak. Kalau ada yang nampak, nampak sahaja,” katanya.
Sementara itu, suami kepada Neelofa iaitu pendakwah, Haris Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz, berkata dia dan isterinya menunggu masa yang sesuai untuk mendedahkan wajah kedua-dua cahaya mata mereka.
“Mungkin sampai anak-anak sudah boleh berdakwah,” katanya ringkas.
Untuk rekod, Neelofa dan PU Riz mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Bilal, 4, dan Abdullah Abbas, 2.










