Dari Rusia ke tanah air, kumpulan Yarmuk lancar Thariq - Utusan Malaysia

Dari Rusia ke tanah air, kumpulan Yarmuk lancar Thariq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kumpulan rock berat yang semakin mendapat tempat di hati peminat, Yarmuk, membuktikan bahawa kualiti muzik rock tempatan mampu menembusi sempadan dunia.

Selepas melakar kejayaan luar biasa menerusi mini album Perjuangan Yarmuk yang mendapat sambutan hangat di Russia dan Turkiye, kumpulan asal Johor ini secara rasminya melancarkan album penuh kedua mereka berjudul Thariq.

Yarmuk yang ditubuhkan di Arab Saudi pada tahun 2020 bukan sekadar kumpulan rock biasa.

Keunikan mereka yang mempertaruhkan lirik berbahasa Melayu namun berjaya menambat hati pendengar luar negara adalah satu pencapaian yang jarang berlaku.

Pengasas dan pemain dram Yarmuk, Al Azmi berkata, kejayaan lagu Perjuangan Yarmuk yang menjuarai carta muzik online DIY Popskool pada Oktober 2024 dengan menewaskan 60 lagu lain adalah satu isyarat jelas bahawa peminat masih dahagakan muzik rock yang berkualiti.

​”Kami sendiri tidak menyangka lagu berbahasa Melayu kami lebih diterima di luar negara berbanding lagu Inggeris yang kami sediakan.

“Ini memberi keyakinan kepada kami bahawa muzik adalah bahasa universal. Kejayaan itulah yang menjadi ‘bahan api’ untuk kami menyiapkan album Thariq ini,” jelasnya.

​Kejayaan ini menjadi inspirasi mereka untuk terus terus memperjuangkan genre rock berunsur tarbiah dan sejarah.

Sementara itu, majlis pelancaran album Thariq telah berlangsung dengan gilang-gemilang di Tapak Pasar Tani Kekal Bukit Gambir pada 7 Februari lalu.

Ia disempurnakan oleh ADUN Bukit Gambir, Sahrihan Jani, merangkap penaung kumpulan Yarmuk.

Dalam ucapannya, Sahrihan menyifatkan Yarmuk sebagai permata seni tempatan yang berjaya mengangkat martabat industri muzik setempat ke aras yang lebih tinggi.

Majlis tersebut turut dineriahkan dengan kehadiran nama-nama besar dalam industri rock tanah air seperti Joe Burnmark, Omar Akira, Burn Crossfire, dan Enal Burnmark.

Kehadiran tokoh-tokoh legenda ini bukan sekadar sebagai tetamu, malah mereka turut membuat persembahan dalam konsert mini yang menyaksikan sokongan padu daripada pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah Tangkak, Majlis Daerah Tangkak, FAMA Daerah Tangkak, Majlis Kebudayaan Daerah Tangkak, Ibu Pejabat Polis Daerah Tangkak, Kelab Belia Bukit Gambir dan persatuan Peniaga Pasar Tani Kekal Bukit Gambir.

Kehadiran barisan rockers otai ini mengembalikan nostalgia memandangkan Johor banyak melahirkan nama-nama popular dalam genre rock tanah air sebelum ini.

Al Azmi berkata, ​album Thariq yang memakan masa dua tahun untuk disiapkan ini memuatkan 12 buah lagu yang menggabungkan elemen rock berat, funky, dan slow rock dengan nuansa muzik era 80-an.

Ia mendapat sentuhan kreatif Aim (vokalis Crossfire) selaku penerbit, manakala Burn Crossfire bertindak sebagai penyusun muzik di bawah label Quantize Studio & Production

Album ini menjanjikan kualiti rakaman yang mantap dan kesemua lagu-lagu telah pun lulus tapisan Rakam Khanah RTM.

​Menariknya, Yarmuk menampilkan
elemen nostalgia 80-an dan 90-an dengan mencetak album ini dalam format Kaset, selain format moden seperti Kad USB (MP3/MP4).

​”Kami mengekalkan identiti rock dengan mesej tarbiah dan sirah. Walaupun industri muzik mencabar, kami berani tampil dengan 12 buah lagu yang merangkumi genre rock berat, funky, dan slow rock,” katanya.

Lagu Sang Puteri – Kini mula mendapat putaran tinggi di stesen radio RTM.

​Anak Gaza & Isra’ – Membawa mesej kemanusiaan dan sejarah Islam.

​Kuku Besi – Sebuah rakaman semula (cover) yang diberi nafas baharu.

​Saladin, Jendela Hafsah, dan Al Maseh – Mengukuhkan identiti Yarmuk sebagai pembawa mesej tarbiah dan sirah.

​Disebalik kegembiraan meraikan pelancaran Thariq, Yarmuk menyifatkan album ini sebagai satu naskhah penuh emosi bagi mengenang pemain gitar mereka, Allahyarham Zuraimi Saat (Aju), yang menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan kuman ketika proses rakaman masih berjalan.

Semangat dan legasi petikan gitar Allahyarham tetap diabadikan dalam karya terbaharu ini.

​Yarmuk kini dianggotai oleh Yaser sebagai vokalis, Zin (bass), Yan (gitar), Boy Hang Tuah (gitar kedua) dan Al Azmi (dram).

​Peminat yang ingin mendapatkan album Thariq beserta barangan eksklusif seperti baju-T dan poster boleh menghubungi pihak pengurusan Yarmuk di [email protected]

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN