Bersolek tebal tidak bermaksud wanita itu ada ciri ‘red flag’ - Erra Fazira - Utusan Malaysia

Bersolek tebal tidak bermaksud wanita itu ada ciri ‘red flag’ – Erra Fazira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Primadona tanah air, Erra Fazira, berpandangan, kecenderungan wanita untuk berhias dan bersolek, termasuk solekan tebal, tidak seharusnya dijadikan ukuran mutlak dalam menilai keperibadian, akhlak mahupun kelayakan seseorang sebagai pasangan hidup.

Pandangan itu disuarakan Erra bagi mengulas kenyataan penyanyi, Datuk Fazley Yaakob, yang menasihatkan golongan lelaki agar lebih berhati-hati memilih pasangan dan menyifatkan wanita yang gemar bersolek tebal mempunyai ‘red flag’.

Menurut Erra, setiap individu berhak mempunyai pandangan peribadi, namun ia tidak wajar digeneralisasikan sehingga mencetuskan persepsi negatif terhadap golongan tertentu, khususnya wanita.

“Pertama sekali, saya menghormati pandangan beliau. Itu adalah pendapat peribadi dan mungkin selera beliau lebih kepada wanita yang berimej semula jadi atau natural. Setiap orang ada cita asa masing-masing dan itu tidak menjadi satu kesalahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Namun begitu, Erra berpandangan bahawa mengaitkan solekan dengan karakter atau nilai dalaman seseorang adalah sesuatu yang tidak adil dan terlalu simplistik.

“Itu tidak bermaksud wanita yang bersolek tebal tidak mempunyai ciri-ciri wanita yang baik. Tidak semestinya begitu. Bila kita bercakap tentang solekan, itu hanyalah solekan luaran. Ia adalah satu bentuk penampilan, bukan ukuran hati budi atau akhlak seseorang.

“Bila kita nak samakan solekan dengan karakter, saya rasa itu kurang tepat. Karakter seseorang itu dibentuk melalui nilai hidup, cara berfikir, sikap dan pergaulan. Semua itu tidak boleh dinilai hanya dengan melihat luaran,” kata pemenang Ratu Cantik Miss Malaysia World 1992 itu.

Mengulas lanjut, Erra berkata istilah ‘red flag’ tidak seharusnya digunakan secara sewenang-wenangnya kerana ia membawa konotasi negatif yang berat.

“Red flag itu merujuk kepada sikap atau perlakuan yang benar-benar memberi kesan buruk, seperti tidak jujur, tidak menghormati pasangan, atau mempunyai nilai hidup yang tidak baik. Solekan tidak termasuk dalam kategori itu.

“Dalam kerjaya saya sendiri, ada ketika saya perlu bersolek tebal kerana tuntutan kerja. Itu sebahagian daripada profesionalisme. Tetapi ia tidak mencerminkan siapa saya di luar kamera, bagaimana saya sebagai ibu, sebagai isteri atau sebagai seorang individu,” katanya.

Selain itu, Erra turut menekankan bahawa realiti hari ini menyaksikan ramai wanita bekerja, berkerjaya dan terdedah kepada persekitaran profesional yang menuntut penampilan kemas dan berketerampilan.

“Wanita zaman sekarang bekerja, berjumpa ramai orang, memegang jawatan dan tanggungjawab. Solekan bagi sebahagian mereka adalah untuk keyakinan diri dan kesesuaian suasana, bukan untuk menunjuk-nunjuk.

“Ada wanita yang bersolek tebal tetapi hati dan tingkah lakunya sangat baik. Dalam masa yang sama, ada juga yang kelihatan sopan dan sederhana, tetapi belum tentu akhlaknya seiring dengan penampilan. Kita tidak boleh menjadikan rupa sebagai penentu,” katanya.

Sehubungan itu, Erra menasihatkan agar masyarakat, khususnya golongan lelaki, mengambil pendekatan lebih matang dalam menilai seseorang wanita.

“Kenali dulu seseorang itu. Berbual, lihat cara dia berfikir, bagaimana dia melayan orang sekeliling, bagaimana dia mengurus emosi dan tanggungjawab. Jangan terus menghukum hanya kerana penampilan fizikal.

“Ada wanita yang sanggup bersolek, kemudian membersihkan wajah untuk solat dan bersolek semula selepas itu. Itu menunjukkan usaha dan kesedaran. Jadi, saya rasa tidak adil untuk meletakkan label negatif hanya kerana solekan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN