KUALA LUMPUR: Tular di laman sosial Threads satu rakaman video memaparkan pelakon Bella Astillah mengadakan siaran langsung bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menarik perhatian wargamaya.
Menerusi perkongsian tersebut, Syed Saddiq menegaskan bahawa Bella bukan seorang wanita yang meletakkan harta sebagai ukuran dalam memilih pasangan hidup, sebaliknya lebih mengutamakan nilai keperibadian dan kebaikan seseorang.
“Seratus peratus itu bukan Bella yang melihat kepada duit. Dia seorang yang lebih mengambil berat tentang kebaikan dan karakter seseorang.
“Nak harapkan duit, saya memang tak ada… minta maaf,” katanya berseloroh dalam siaran langsung tersebut.
Sementara itu, Bella turut berkongsi pandangannya mengenai realiti kehidupan yang tidak sentiasa berada di atas, malah boleh berubah pada bila-bila masa.
“Saya rasa, sesiapa yang ada duit banyak pun boleh diuji. Ada yang dahulu senang, kemudian susah. Kehidupan ini tidak selamanya di atas, kadang-kadang kita boleh jatuh juga.
“Sebab itu kebaikan itu penting, kerana ia berkekalan. Jika memilih pasangan hanya kerana harta tetapi tiada budi bahasa, kehidupan boleh menjadi sengsara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq menegaskan bahawa aspek kewangan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk seorang lelaki mengabaikan tanggungjawab terhadap pasangan.
“Namun, itu tidak bermaksud lelaki boleh mengabaikan tanggungjawab. Agama telah menetapkan peranan dan tanggungjawab seorang lelaki.
“Saya rasa ia perlu dilaksanakan, tetapi bukan sehingga perlu menjadi jutawan untuk memikul tanggungjawab tersebut.
“Apa yang penting adalah kemampuan menjaga pasangan dengan sebaik mungkin dalam apa jua keadaan,” jelasnya.
Bella dalam masa sama meluahkan rasa syukur kerana didikan ibu bapanya yang tidak pernah menetapkan syarat dalam memilih pasangan berdasarkan kekayaan, sebaliknya menitikberatkan nilai kebaikan dan akhlak.










