ISU bayaran tidak setimpal bukan dilema yang baru semalam menghimpit sebilangan besar penggiat seni di negara ini.
Malah, pelbagai cara digunakan individu tidak bertanggungjawab yang cuba mengelak daripada memberikan bayaran setimpal kepada penyanyi atau pemuzik lebih-lebih lagi yang baru menapak.
Penyanyi muda berbakat besar, Najmie Niery dan beberapa rakan pemuziknya antara yang hampir ‘digula-gulakan’ oleh seorang pempengaruh media sosial yang bukan sahaja mengaku dirinya terkenal, malah cuba mengelak memberikan bayaran setimpal atas alasan mahu berkolaborasi.
Demikian perkongsian Najmie kepada pancaindera.
Boleh Najmie jelaskan situasi yang berlaku?
Individu itu menyatakan hasrat mahu berkolaborasi, kami anggap itu tidak salah sekiranya kedua-dua pihak mendapat manfaat setimpal.
Tapi nampaknya berlaku ketidakadilan apabila kami ditawarkan olehnya untuk membuat persembahan di luar lembah Klang dengan kadar bayaran tidak masuk akal rendahnya.
Saya ini tidak bergerak seorang, ada pemuzik lain yang mengiringi persembahan. Dalam masa sama kami juga mengeluarkan duit sendiri untuk membiayai kos logistik, penginapan dan lain-lain sebab semua itu tidak disediakan olehnya.
Adakah Najmie sebelum ini mengenalinya?
Dia mengaku dirinya pempengaruh terkenal. Tapi jujur sebelum berurusan dengannya, saya tidak kenal dan tidak pernah pun mendengar namanya.
Yang lebih mengecewakan adalah cara dia berurusan tak ada budi bahasa. Kadang saya terfikir apa masalah dia sehingga menjadi tak beradab seperti itu.
Dan sebagai pempengaruh, dia sepatutnya faham yang aktiviti seni ini merupakan punca pendapatan ramai orang. Tapi ibaratnya seperti dia mengambil kesempatan dengan menawarkan bayaran tidak masuk akal dengan alasan sekadar mencari peluang untuk berkolaborasi.

Selain bayaran rendah, apa lagi yang dijanjikannya?
Atas nama kolaborasi, kononnya dengan jumlah pengikut media sosialnya yang tinggi, dia mampu memberikan pendedahan atau publisiti sebagai sebahagian ‘bayaran’ kepada kami.
Saya menganggap tawarannya itu seperti memperkecilkan pengalaman, usaha dan kualiti kerja yang bakal kami berikan. Kami tak perlukan pun pendedahan yang di platform media sosialnya itu. Yang kami perlukan adalah wang untuk kelangsungan hidup.
Adakah ini pengalaman pertama anda berhadapan situasi begini?
Bukan pertama kali menimpa kepada saya, beberapa kali juga. Cuma secara amnya, kejadian macam ini banyak menimpa penggiat muzik.
Bagaimana dengan rakan pemuzik lain, pernahkah mereka berkongsi pengalaman yang sama?
Ya, ramai pemuzik yang sebenarnya berkongsi rasa terkilan apabila nilai mereka direndah-rendahkan dengan layanan yang tidak adil seperti ini.
Dulu Datuk Sheila Majid pernah menyuarakan perkara ini. Beliau juga mendapati pemuzik kita kerap dipandang rendah, dianggap tidak penting dan dilayan sebelah mata.
Jadi saya mahu menjadi seperti Sheila yang berani bersuara demi memperjuangkan nasib pemuzik kita.
Sebagai yang mengalami situasi ini, mungkin apa ingin Najmie luahkan mengenainya?
Sebagai pemuzik, kami melalui proses untuk berada di kedudukan kami hari ini. Kami belajar dan kumpul pengalaman. Jadi tak eloklah memandang rendah kami ini hanya kerana pengikut media sosial kami tak ramai. Mungkin jumlah pengikut media sosial kami rendah, tapi kami pengalaman kami banyak.










