PETALING JAYA: Pelakon, Amyza Aznan terus menuai perhatian dalam kalangan warganet selepas berkongsi momen akhir dirinya tidur bersama arwah anaknya, Andre Mikhail yang meninggal dunia, Isnin lalu.
Lebih menyayat hati, Amyza turut menyatakan momen tersebut juga merupakan peluang terakhir untuknya memeluk jasad Andre sepuas hati sebelum disemadikan ke negeri abadi.
“Anak, kita tidur bersama untuk kali terakhir dan pelukan terakhir untukmu,” katanya di Instagram.
Sebak melihat perkongsian tersebut, rata-rata pengikutnya meluahkan rasa simpati dengan keadaan Amyza yang terpaksa menanggung rindu terhadap putera sulungnya itu.
Selain mendoakan agar roh anaknya dicucuri rahmat, peminatnya turut berharap agar Amyza diberi kekuatan yang luar biasa untuk bangkit dari kehilangan insan tersayang.
“Beberapa hari kita turut sedih bersama. Pemergian Andre sangat menyentuh hati saya. Syurga buatmu Andre. Semoga Allah beri kekuatan luar biasa buat Kak Myza sekeluarga,” komen peminatnya.
“Bayangkan anak yang kita susukan, tidurkan kini hanya jasad tak bernyawa. Beratnya ujian ini,” kata seorang netizen.
Pada Isnin lalu, Amyza memaklumkan anaknya, Andre telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur selepas setahun berjuang melawan penyakit kanser paru-paru sejak Februari tahun lalu.
Kisah hidup Amyza terus menuai perhatian selepas pelakon itu memaklumkan anak keduanya, Adrian Adam turut menghidap kanser tulang.










