KUALA LUMPUR: Pelakon, Aidil Aziz memilih untuk tidak mengulas lanjut berhubung dakwaan isterinya yang juga aktres terkenal, Fasha Sandha, menanggalkan tudung dalam sebuah drama lakonannya yang kini sedang ditayangkan.
Aidil, 38, berkata perkara berkenaan terlalu bersifat peribadi untuk dibincangkan secara terbuka dan berharap semua pihak menghormati keputusannya untuk tidak memberikan sebarang komen mengenainya.
“Saya tiada sebarang komen. Saya mohon maaf kerana tidak dapat memberikan sebarang penjelasan lanjut berhubung perkara tersebut,” katanya.
Menurut Aidil, dia juga tidak mengikuti atau membaca komen netizen berkaitan isu berkenaan kerana menganggapnya sebagai hal privasi keluarga.
“Saya tidak membaca komen netizen dan tidak mengambil tahu mengenainya. Namun, saya sedar drama tersebut sedang tular dan itu merupakan rezeki buat Fasha apabila naskhah tersebut mendapat perhatian ramai,” ujarnya.
Aidil berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan kandungan Ramadan Astro yang berlangsung di Astro Bukit Jalil, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Aidil menjelaskan bahawa dia dan isterinya sentiasa mengamalkan perbincangan terbuka setiap kali menerima tawaran lakonan sebelum membuat keputusan untuk menerima atau menolak sesuatu naskhah.
“Kami akan berbincang terlebih dahulu setiap kali menerima tawaran. Perkara utama yang dititikberatkan ialah mesej yang ingin disampaikan melalui naskhah tersebut kepada penonton,” katanya.
Tambah Aidil, sebagai pelakon, tanggungjawab untuk menyampaikan mesej yang bermakna kepada masyarakat adalah satu amanah yang besar dan tidak boleh dipandang ringan.
“Semakin kuat mesej yang ingin disampaikan, semakin besar tanggungjawab seorang pelakon. Saya bersetuju dia menerima tawaran drama tersebut, dan jika saya tidak bersetuju, sudah tentu dia tidak akan melakukannya,” jelasnya.










