Tidak semua luka perlu dilaungkan. Ada yang cukup dipendam, dihadam perlahan-lahan, lalu dijadikan kekuatan. Barangkali, itulah dia. Di sebalik senyuman tenang dan tutur kata yang tersusun, penyanyi, Kaka Azraff sebenarnya menyimpan kisah hidup yang panjang, berliku dan sarat dengan rasa.
Perpisahan, kesakitan, pengorbanan, keinsafan, bahkan penyatuannya kembali dengan suami, Adam Azriff, semuanya bukan lagi rahsia besar, tetapi juga bukan untuk dihebahkan sewenang-wenangnya. Sekurang-kurangnya, itu adalah prinsip yang menjadi pegangannya.
Bagi penyanyi bernama sebenar, Nor Atiqa Noor Azraff ini, tidak semua perkara dalam hidup perlu dijelaskan kepada umum, dan tidak semua persoalan wajar dijawab walau sesering mana ia diajukan.
Ada ruang yang perlu dilindungi, ada sempadan yang mesti dijaga. Di situlah terletaknya pendiriannya yang jelas dan tidak berkompromi dan tidak boleh disentuh, sebagaimana lagu berjudul Takleh Usik yang dihasilkannya.
“Tentang kehidupan peribadi, saya memang tidak mudah menguar-uarkannya kepada umum. Bersatu, berpisah dan sekarang kembali hidup sebagai suami isteri semula, semuanya hanya satu yang saya minta daripada semua orang. Iaitu, doa yang baik-baik.
“Secara peribadi, saya berada di tempat yang gembira sekarang. Anak-anak saya juga gembira. Itu yang paling penting kerana hidup saya bukan lagi tentang diri saya sahaja, tetapi tentang anak-anak saya yang merupakan amanah Allah.
“Kebahagiaan anak-anak saya adalah keutamaan. Jika saya perlu mengetepikan kebahagiaan saya demi mereka, saya akan melakukannya dengan ikhlas kerana bagi saya, itu adalah cinta,”katanya.
Kongsi Kaka lagi, dia menganggap dirinya sebagai seorang individu yang memakai banyak ‘baju’. Baik sebagai seorang anak seni, ibu, wanita, dan manusia yang sedang belajar berdamai dengan kehidupan.
Bagi Kaka, hidup bukan lagi tentang siapa menang atau siapa kalah, siapa betul atau siapa salah. Hidupnya kini tentang memperbaiki diri, menjaga amanah dan memilih jalan yang baik walaupun mungkin bertemu kesakitan.
“Saya, anak-anak dan suami adalah keluarga dan akan sentiasa menjadi sebuah keluarga. Ada perkara yang saya tidak mahu sentuh kerana ia sangat peribadi dan melibatkan anak-anak saya yang suatu hari nanti akan membaca semua ini.
“Saya percaya kita perlu sentiasa bersangka baik dengan Allah. Apa sahaja pengorbanan yang dilakukan, walaupun terpaksa mengorbankan kebahagiaan sendiri untuk keluarga, ibu bapa, pasangan atau anak-anak, yakinlah bahawa pengorbanan itu akan membawa kemanisan pada akhirnya.
“Sebagai seorang artis dan manusia, saya tidak lagi mencari validasi orang lain. Saya hanya mahu menjadi diri saya sendiri. Apa orang kata tidak lagi mengganggu kerana saya tahu siapa diri saya dan ke mana saya mahu pergi. Saya pun tidak mahu membuka cerita lama, biarlah ia disimpan elok-elok,”katanya.

Bukan penamat
Sungguhpun begitu, Kaka tidak pernah menafikan bahawa perpisahan sebelum ini menyakitkan. Ia datang dengan perasaan gagal, keliru dan persoalan yang tidak berjawab. Namun dia juga tidak pernah melihat kesakitan itu sebagai sesuatu yang sia-sia.
“Kesakitan itulah yang menghidupkan kita.Yang penting, tiada apa yang harus saya sesalkan atas perjalanan yang dilalui sehingga ke hari ini. Bagi saya, ia sebuah proses untuk mematangkan saya.
“Membentuk cara saya berfikir, mengurus emosi, dan cara saya melihat dunia.Apabila saya melihat sesuatu situasi, saya belajar banyak daripadanya. Saya rasa semua itu perlu saya lalui untuk menjadi diri saya hari ini.
“Walaupun nampak lembut, sebenarnya saya sudah tahu batas. Jangan main-main. Saya percaya semua orang perlu melalui kesakitan. Kita tidak boleh lari sedikit sahaja daripada sakit. Kita perlu duduk dengan rasa sakit itu dan merasainya,”katanya.
Jelas Kaka, itu juga tidak bermakna orang boleh melabel dirinya mencari escapisme daripada sesuatu masalah.
“Saya bukan jenis orang yang gemar lari daripada masalah. Saya duduk dengan masalah itu dan mencari jalan bagaimana untuk menyelesaikannya. Sebab, bagi saya, masalah akan sentiasa ada, tetapi kita perlu berharap.
“Sebab itu saya selalu cakap, kita perlu memilih jalan yang baik. Kalau kita berada di tempat yang menyakitkan tetapi kita memilih jalan yang baik, sakit itu akan tetap ada, tetapi kemanisan juga akan datang.
“Tidak kira dalam kerja, keluarga atau hubungan, jika kita terus memilih jalan keluar tanpa melalui proses, kita tidak akan dapat merasai manisnya. Kita hanya akan tinggalkan kepahitan tanpa benar-benar belajar,”katanya.

Kejayaan peribadi
Berbicara mengenai kejayaan, bagi Kaka, penerimaan dan peluang berada di pentas berprestij bukanlah matlamat utama dalam perjalanan seninya. Semua itu disifatkan sebagai bonus dan rezeki daripada Allah.
Apa yang lebih penting buat penyanyi ini adalah niat untuk berkongsi rasa dan pengalaman hidup, agar ia boleh menjadi inspirasi kepada orang lain yang mungkin melalui fasa yang sama.
Justeru, menerusi album terbaharunya, MPT, Kaka memilih untuk tampil lebih jujur dan tulen sebagai seorang pemuzik, bukan lagi sekadar figura selebriti.
“Hari ini saya hadir sebagai seorang pemuzik yang berkongsi. Mungkin sebelum ini orang melihat saya terlalu sebagai selebriti, tetapi kali ini saya mahu jadi real dan menjadi diri saya sendiri.
“Sepanjang berada dalam industri, menerusi album inilah baru saya benar-benar mempersembahkan diri saya yang sebenar, tanpa dibuat-buat, tanpa mengejar hype atau nombor satu di radio. Kalau itu berlaku, Alhamdulillah. Kalau tidak, saya mahu lagu-lagu dalam album ini sampai kepada pendengar yang organik dan tulen.
“Album ini mempunyai tujuh lagu dan itu memang perancangan kami. Saya terlibat dalam setiap lagu dan semua lagu ditulis bersama. Kami duduk bersama dari awal, termasuk lagu bersama Sona yang dibina dari awal,” katanya.
Menurutnya, proses kreatif bermula dengan pembinaan beat sebelum dia menulis lirik berdasarkan mesej utama album.
“Beat dibuat terlebih dahulu dan saya terus menulis lirik berdasarkan apa yang saya mahu sampaikan dalam album ini. Dari segi emosi, saya akui terdapat lagu yang memberi kesan mendalam ketika rakaman.
“Ada lagu yang membuatkan saya menangis semasa rakaman, terutamanya lagu Berubah. Selain itu lagu Bully juga sangat dekat di hati saya. Ia berkisar tentang pengalaman dibuli tanpa sedar, dan apabila kita sedar, kita belajar untuk berdiri mempertahankan diri,”katanya.
Menjelaskan mesej keseluruhan album, Kaka menegaskan ia bukan ditujukan sebagai sindiran kepada mana-mana pihak.
“Album ini bukan sindiran kepada sesiapa. Ia tentang rasa dan pengalaman sebagai seorang manusia.Saya harap ia dapat memberi kekuatan kepada pendengar untuk percaya pada diri sendiri walaupun sedang melalui fasa yang suka,”tutupnya.










