Waktu kecil saya gemar menyanyikan lagu iklan Ibu - Shila Amzah - Utusan Malaysia

Waktu kecil saya gemar menyanyikan lagu iklan Ibu – Shila Amzah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Siapa sangka perjalanan seni penyanyi tersohor negara, Shila Amzah, tidak bermula di pentas besar atau pertandingan nyanyian, sebaliknya daripada sebuah lagu iklan yang pernah menjadi siulan ramai suatu ketika dahulu.

Menerusi satu sesi temu bual, Shila mendedahkan bakat nyanyiannya mula disedari oleh ibu sendiri hasil daripada tabiatnya menyanyikan lagu-lagu iklan di rumah.

Menurut Shila, sejak kecil lagi dia gemar menyanyikan pelbagai lagu iklan yang ditayangkan di televisyen, namun terdapat satu lagu yang paling dekat di hatinya.

“Ibu saya mula menyedari saya boleh menyanyi sejak kecil. Salah satu lagu kegemaran saya ketika itu ialah lagu iklan,” katanya.

Tambah Shila, lagu iklan yang dimaksudkan berjudul Ibu, yang ketika itu kerap dimainkan di kaca televisyen dan menjadi antara iklan yang cukup popular.

“Saya selalu menyanyikan lirik ‘Ibu, ibu, engkaulah ratu hatiku’. Semua lagu iklan saya nyanyikan, tetapi lagu ini yang paling saya gemari,” jelasnya.

Lebih menyentuh perasaan, Shila mengakui kini menyedari bahawa lagu tersebut seolah-olah menjadi petanda awal perjalanan hidupnya, daripada seorang anak kecil yang menyanyikan lagu tentang ibu, kini dia sendiri bergelar ibu dan menyampaikan lagu-lagu bertemakan keibuan.

“Inilah yang menjadikannya istimewa,” katanya ringkas.

Sementara itu, mengulas mengenai kehidupannya sebagai seorang ibu, Shila membuka cerita tentang anak lelakinya yang berada dalam spektrum autisme, serta pendekatan dirinya dan suami, Ubai, dalam membesarkan anak tersebut tanpa tekanan atau paksaan.

Menurut Shila, mereka berdua sedar bahawa setiap anak membesar dengan cara yang berbeza, dan tidak semua perlu mengikut definisi ‘kejayaan’ yang sama.

“Saya dan Ubai, kita cuba untuk tak menjadi ibu bapa yang terlalu memaksa anak. Contohnya, ‘awak kena jadi doktor, awak kena jadi itu ini’. Bagi  saya dan Ubai,  perkara paling penting adalah anak kami mampu menguruskan diri dan hidup dengan baik mengikut kebolehan sendiri.

“Terutamanya kerana Seth merupakan anak autisme. Bagaimanapun, dia boleh uruskan diri sendiri dan boleh memahami kemahuannya. Sebagai ibu bapa, saya dan suami sama-sama belajar untuk menerima dan bersyukur dengan setiap pencapaian kecil anak.Kami dah sangat bersyukur,Alhamdulillah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN