Pemimpin Pas jangan sekadar baca tajuk, teliti laporan penuh

Pemimpin Pas jangan sekadar baca tajuk, teliti laporan penuh

TUN FAISAL ISMAIL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz meminta pemimpin Pas supaya tidak sekadar membaca tajuk artikel yang disiarkan media kerana boleh menimbulkan salah faham.

Beliau berkata, laporan tersebut dibahagikan kepada lima bahagian iaitu ulasan penulis, tiga bahagian oleh sumber dan bahagian terakhir mengandungi komen beliau sendiri. 

Katanya, sebagai pembaca, sebaiknya perlu meneliti keseluruhan laporan bagi memahami isu yang dibangkitkan.

“Platform pra-majlis Presiden-Presiden parti anggota Perikatan Nasional (PN) adalah langkah tepat untuk membincangkan perkara-perkara yang masih tidak jelas. 

“Ia memberi peluang semua kepada Presiden parti duduk bersama untuk berbincang secara baik dan harmoni,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Tun Faisal, pada 5 Januari lalu, satu pertemuan antara Naib Presiden Pas dan Presiden Bersatu telah diadakan, manakala pada 16 Januari lalu pula, Presiden Pas bertemu Presiden Bersatu dan ditemani oleh Timbalan Presiden Pas, Setiausaha Agung Pas dan Setiausaha Agung Bersatu.

“Walaupun ada catatan dan saksi hidup, masih terdapat perkara yang memerlukan perincian lanjut selepas pertemuan tersebut.

“Mesyuarat Luar Biasa PN yang dijadual berlangsung pada 29 Januari lalu telah dibatalkan atas sebab-sebab tertentu dan digantikan dengan pra-majlis Presiden-Presiden parti anggota PN. 

“Kaedah ini memberi platform yang baik untuk Presiden parti mendapatkan pencerahan mengenai isu yang belum jelas, berbincang dan mencapai kesepakatan mengenai hala tuju serta langkah seterusnya.

Terdahulu,  Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyelar dakwaan kononnya sikap tamak pemimpin parti itu sehingga mengorbankan hubungan dengan Bersatu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, sekiranya Pas tamak, parti itu tidak akan menyerahkan jawatan Ketua Pembangkang kepada parti lain sedangkan Pas memiliki jumlah kerusi Parlimen terbanyak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN