Sikap berhati-hati penting, asas bentuk adab dan akhlak anak - Scha Alyahya - Utusan Malaysia

Sikap berhati-hati penting, asas bentuk adab dan akhlak anak – Scha Alyahya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Scha Alyahya, 43, bersetuju dengan tindakan pasangan selebriti popular, Datuk Seri Aliff Syukri dan Datin Seri Nur Shahida yang bertegas melarang pembantu peribadi (PA) lelaki daripada mudah menyentuh mana-mana anak perempuannya.

Menurut Scha, golongan ibu bapa seharusnya memainkan peranan penting dalam menetapkan batas pergaulan anak-anak sejak awal usia, khususnya dalam usaha melindungi anak perempuan daripada pengaruh negatif persekitaran.

Tambah Scha, hal yang sama dilakukannya bersama suami, Awal Ashaari dalam mendidik anak-anak mereka.

“Naluri seorang ibu mendorong saya untuk sentiasa berwaspada dalam setiap aspek kehidupan anak-anak walaupun ada kalanya dianggap terlalu berfikir.

“Bagi saya, sikap berhati-hati itu penting sebagai asas dalam membentuk adab, akhlak serta memastikan keselamatan anak-anak, lebih-lebih lagi dalam dunia moden yang penuh cabaran.

“Penetapan batasan sejak awal sangat penting supaya anak-anak tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Ia bukan untuk menyekat, tetapi untuk melindungi dan membentuk jati diri mereka,” katanya.

Scha berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran koleksi terbaharu tas tangan Ayaaya The Nexx di Club 21 Labs, Four Seasons, di sini, hari ini.

Selain itu, kongsi Scha, suaminya turut memberi perhatian serius terhadap penggunaan teknologi dan media sosial dalam kalangan anak-anak.

Scha berkata, dia kerap memantau kandungan yang dimuat turun, tontonan serta perbualan anak-anak menerusi peranti digital yang digunakan.

Sekiranya terdapat kandungan yang dirasakan tidak sesuai, katanya, dia akan menasihati serta memberi penjelasan secara terbuka agar anak-anak memahami sebab sesuatu larangan dibuat, sekali gus mengelakkan salah faham.

Selain pemantauan, Scha turut menetapkan peraturan ketat berkaitan penggunaan peranti digital di rumah.

“Anak-anak hanya dibenarkan menggunakan telefon bimbit atau iPad pada hujung minggu dan tanpa akses kepada media sosial seperti Instagram dan sebagainya.

“Aplikasi yang dibenarkan hanyalah yang bersifat kreatif dan pembelajaran seperti Canva dan Pinterest, selain penggunaan iPad untuk kerja sekolah. Masa skrin juga dikawal dan akan ditutup sekiranya penggunaan dianggap berlebihan,” jelasnya.

Scha mengakui bahawa teknologi tidak dapat dielakkan sepenuhnya dalam kehidupan masa kini kerana kanak-kanak terdedah kepada peranti digital di sekolah dan persekitaran seharian.

Justeru, dia percaya peranan ibu bapa adalah untuk menanam kesedaran, nilai dan kefahaman agar anak-anak mampu membezakan antara perkara baik dan tidak baik serta memahami batas yang perlu dijaga.

“Bukan soal menghalang sepenuhnya, tetapi membimbing supaya mereka tahu menggunakan teknologi dengan bijak dan bertanggungjawab,” katanya.

Terdahulu, Aliff Syukri dan Shahida berkongsi dengan pengikut di media sosial bahawa mereka telah berulang kali memberi amaran kepada pembantu peribadi lelaki supaya tidak memegang, mendukung atau menyentuh anak perempuannya walaupun atas alasan bergurau atau bermain.

Apa yang membuatkan situasi menjadi tegang apabila perkara itu tetap berlaku di hadapan mata. 

Usahawan kosmetik itu dilaporkan sangat marah kerana baginya, ini bukan isu kecil yang boleh dipandang ringan. 

Menerusi satu perkongsian video di Threads, Shahida menegaskan, kemarahan itu bukan bermaksud memarahi anak semata-mata, sebaliknya sebagai satu proses mendidik dan memberi kefahaman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN