Siapalah yang membuat fitnah itu? - Que Haidar - Utusan Malaysia

Siapalah yang membuat fitnah itu? – Que Haidar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEBIH dua dekad bergelar anak seni, pelakon, Que Haidar sudah terbiasa dengan sepak terajang dunia hiburan. Dakwaan, tuduhan, gosip, spekulasi dan khabar angin sudah menjadi kelaziman yang terpaksa dihadap.

Selepas kembali diperkatakan susulan fenomena Jamilah, nama Que Haidar dihinggap gosip dan  khabar angin. Antara yang berlegar adalah dakwaan kononnya pelakon ini meminta dibayar untuk memenuhi permintaan media bagi melakukan wawancara atau sesi fotografi.

Terkejut dengan spekulasi yang ditularkan, Que menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan dan menganggap ianya satu fitnah untuk mencemarkan imej dan nama baiknya.

“Memang sebelum ini ada pihak yang mempelawa saya untuk melakukan sesi fotografi dan wawancara. Tapi disebabkan kekangan masa, saya menolak secara baik. 

“Hampir setiap hari saya jalani penggambaran. Kalau tidak, saya hadiri latihan untuk filem aksi selain melunaskan tugas sebagai duta produk atau menghadiri kelas berlakon. Jadi buat masa ini saya terpaksa menolak melakukan fotografi dan wawancara. 

“Kalau ada kelapangan, saya cuma mahu berehat. Itupun agak terhad kerana hampir setiap hari saya bekerja.

“Tapi saya tegaskan, saya tak pernah meminta bayaran untuk sesi fotografi dan temu bual. Siapalah yang membuat fitnah itu?” ujarnya.

Mengulas lanjut, Que menegaskan sepanjang lebih dua dekad karier seninya, tidak pernah sekalipun dia melakukan perkara yang didakwa. Justeru pelakon berbakat besar ini kecewa dan terkilan difitnah sedemikian.

“Tanyakan kepada mana-mana wartawan lama, pernahkah saya meminta bayaran apabila mereka mewawancara saya? Tentu sekali mereka katakan tidak sebab ia tidak pernah berlaku.

“Sudah lebih 20 tahun saya berada dalam industri seni ini, sejak usia saya 23 tahun. Banyak sesi fotografi dan wawancara saya jayakan. Tapi tidaklah pula pernah saya minta satu sen pun sebagai bayaran.

“Memang tak logik perkara itu. Sebagai anak seni, saya maklum yang melakukan wawancara dan fotografi ini sebahagian kerja dalam bidang ini. Dan jujur, saya tak pernah minta duit untuk itu. Kalau begitu tabiat saya, sudah tentu saya lakukannya sejak mula-mula jadi pelakon lagi,” kongsinya.

REZEKI YANG DITENTUKAN

Bercerita mengenai kepulangan semula Que ke dunia lakonan secara total selepas 16 tahun, pelakon berbakat besar ini seperti tidak menang tangan dek tawaran berlakon drama dan filem yang menghujaninya. Ternyata, Que Haidar relevan sampai hari ini.

Hakikatnya, kemenangan trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa 2024, selain tercalon bagi kategori Pengarah Terbaik dalam penganjuran sama menjadi asbab yang ‘membenihkan’ keinginan dalam diri anak jati Kulai Johor ini untuk kembali sepenuh masa memeriahkan dunia seni tanah air.

Justeru, sejak awal tahun lepas, Que menerima banyak tawaran berlakon termasuk dua buah filem yang dibatalkan. 

“Saya pernah terfikir, adakah orang industri dan masyarakat masih menerima saya? Adakah saya masih relevan? Persoalan-persoalan itu pernah bermain dalam fikiran saya.

“Tapi saya teruskan juga pembabitan dalam bidang lakonan kerana percaya yang bakat lakonan yang Allah SWT anugerahkan ini bukan untuk disia-siakan.

“Alhamdulillah urusan saya dipermudahkan. Satu per satu tawaran berlakon saya terima. Antaranya, dua buah filem yang salah satunya dibatalkan tahun lepas kerana ketiadaan peruntukkan.

“Disebabkan filem itu, saya bina badan, gigih siang dan malam di gimnasium selama tiga bulan tanpa menjangkakan yang filem itu dibatalkan,” katanya.

Meskipun berdepan dua kali pembatalan filem tahun lalu, empunya nama penuh Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar kekal optimis.Kesungguhannya berhempas pulas mengubah bentuk fizikal untuk filem yang tidak menjadi sebenarnya mendatangkan rezeki yang tidak disangka-sangka.

“Walaupun filem tak menjadi, saya bangga kerana setidaknya ada sesuatu yang telah saya capai. Saya kongsi mengenainya untuk memberi inspirasi kepada orang lain.

“Saya tak sangka pula perkara itu menjadi buah mulut orang. Bertitik tolak saat itu, semakin banyak tawaran kerja yang masuk.

“Kemudian saya ubah warna rambut. Hal itu juga menjadi perbualan netizen sebelum saya semakin rancak diperkatakan kerana lagu Jamilah itu.

“Apa yang terjadi sebenarnya membuka fikiran saya. Pengalaman itu mengajar tentang tawakal dan percaya kepada aturan Allah S.W.T. Jangan kecewa jika sesuatu yang kita inginkan tak menjadi milik kita. Percayalah dengan perancangan Tuhan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN