PADANG TERAP: Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) akur dengan arahan Kerajaan Persekutuan agar semua agensinya tidak menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri, tahun ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keputusan itu susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya majlis tersebut dibatalkan ekoran kesan ekonomi daripada perang Amerika Syarikat-Israel dan Iran ketika ini.
“KEDA mematuhi arahan kerajaan, apabila ada arahan daripada Perdana Menteri tentang semua bentuk sambutan Aidilfitri ini maka kita tak buat rumah terbuka pada tahun ini.
“Sememangnya kalau tak buat sudah pasti berlaku penjimatan kerana bajet untuk majlis ini sudah ada. Setiap tahun kita buat tetapi bila diarah tidak buat maka kita akur,” katanya pada program Kepenggunaan Ramadan 2026 di Bazar Ramadan Pekan Kuala Nerang, di sini semalam.
Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri kelmarin yang mengarahkan semua agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan bukan kerajaan (GLIC) tidak menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri tahun ini.
Keputusan yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri itu sebagai langkah berjaga-jaga dengan memulakan penjimatan susulan peperangan tersebut.
Mengulas lanjut, kata Mahdzir, pihaknya bagaimanapun tidak menghalang kakitangannya untuk mengadakan rumah terbuka masing-masing. – UTUSAN







