Baru-baru ini, adalah seorang hamba Allah ini datang mengadu pada Cik Bunga. Katanya, dia berhasrat memanggil ibu kepada seorang penyanyi muda ini untuk hadir ke sesi temu bual.
Ya, anaknya seorang artis, dia sendiri pun pernah menyanyi, cuma tidaklah sepopular yang disangka. Anaknya pun, tidaklah popular mana, tetapi orang kenal lah.
Hendak dijadikan cerita, adalah sebuah organisasi ini, mahu menemu bual selebriti ini untuk membincangkan sebuah topik semasa. Alahai, tidaklah berat sangat pun isu, tetapi bolehlah sekadar untuk berbual santai bagi pengisian kepada masyarakat.
Namun,apa yang mengejutkan, si selebriti ini tergamak minta bayaran. Dengarnya amaun yang diminta pun banyak juga. Maka terkejutlah individu yang nak pelawa dia ke sesi temu bual itu.
Mana tidaknya, selama menjalankan sesi temu bual, tak pernah pula ada artis atau selebriti meminta bayaran. Dia sendiri pun tahu, selama ini mana ada sesi temu ramah dibayar, jadinya Cik Bunga pun pelik juga kenapa dia jadi begitu.
Itu sebab Cik Bunga jadk tertanya-tanya, sengkek sangatkah selebriti wanita tersebut? Itu pun dalam masa yang sama, Cik Bunga ada dengar, dia terlalu ‘menjual’ anaknya sejak sudah terlibat dalam dunia seni ini.
Cik Bunga harap, jangan pula dia memaksa-maksa anaknya ambil semua ‘job’ menyanyi, sampai lupa pula dengan pelajaran. Bab pendidikan sepatutnya perlu diutamakan. Tak begitu? Aduhai, macam-macam hal lah ya.









