Saya sukar memanggilnya ibu gara-gara trauma ‘child grooming’ - Manohara

Saya sukar memanggilnya ibu gara-gara trauma ‘child grooming’ – Manohara

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Model dan aktivis, Manohara Odelia Pinot, tampil membuat pendedahan mengejutkan apabila meluahkan pengalaman pahit membabitkan dakwaan ‘child grooming’ yang didakwa dialaminya sejak usia muda, menerusi beberapa hantaran di Instagram.

Pendedahan itu turut membabitkan sikap ibu kandungnya, Daisy Fajarina, yang didakwa menjadi punca utama kepada trauma dan penderitaan yang dialami Manohara sehingga kini.

Untuk rekod, Manohara yang kini berusia 33 tahun pernah dilaporkan berkahwin pada usia 16 tahun dengan kerabat diraja Malaysia.

Ketika itu, Daisy Fajarina mendakwa anaknya diculik selepas menunaikan ibadah umrah.

Namun, Manohara berjaya melarikan diri dan pulang ke pangkuan keluarga.

Bagaimanapun, perkembangan terbaharu mendedahkan bahawa dakwaan penculikan tersebut adalah tidak benar.

Menurut Manohara, perkara sebenar didedahkannya selepas isu ‘child grooming’ kembali tular susulan penerbitan buku Broken Strings karya Aurelie Moeremans.

Keadaan menjadi semakin tegang apabila akaun Instagram Manohara didakwa diserang oleh satu akaun palsu, @aisyah_nadawi, yang disyaki dikendalikan oleh ibu kandungnya sendiri.

Manohara kemudian membalas dengan mendedahkan beberapa dakwaan serius terhadap ibunya, termasuk paksaan untuk berkahwin pada usia muda demi kepentingan tertentu.

“Saya tidak pernah bersetuju dengan perkahwinan itu. Ibu yang memaksa. Saya sudah berkali-kali merayu agar semuanya dihentikan dan meminta supaya tidak ditinggalkan sendirian dengan lelaki tersebut.

“Namun, bukan bantuan yang saya terima, sebaliknya jeritan dan pukulan,” katanya menerusi hantaran di Instagram, semalam.

Dalam pada itu, Manohara turut menafikan dakwaan kononnya dia tidak berminat untuk melanjutkan pelajaran.

Sebaliknya, dia mendakwa sangat ingin menimba ilmu, namun terpaksa bekerja bagi menampung kos persekolahan seni adiknya di Sydney.

Akibat segala penderitaan yang dialami, Manohara mengakui dia berdepan kesukaran untuk memanggil wanita yang melahirkannya itu sebagai seorang ibu.

“Saya sukar memanggilnya ibu kerana apa yang dilakukannya terhadap saya benar-benar di luar batas dan tidak mencerminkan sifat seorang ibu,” katanya.

Lebih mengejutkan, Manohara turut mendedahkan dakwaan amalan ilmu hitam yang pernah dilakukan ibunya terhadap dirinya.

Dia mendakwa sering dibawa berjumpa bomoh di sekitar Sukabumi dan Bogor kerana dituduh dirasuk makhluk halus serta dianggap sebagai anak derhaka.

“Saya dipaksa minum air ritual, mandi dengan minyak yang tidak diketahui, serta melakukan pelbagai amalan yang menakutkan dan mengelirukan. Pengalaman itu meninggalkan trauma mendalam sehingga ke usia dewasa,” jelasnya.

Selain itu, Manohara mendakwa ibunya sering mempermainkan agama demi kepentingan peribadi.

Menurutnya, Daisy Fajarina sanggup menukar agama kerana pengaruh rakan-rakan yang terdiri daripada individu kaya beragama Kristian.

“Inilah sebabnya saya katakan agama dan segala-galanya hanyalah alat baginya. Dia sanggup melakukan apa sahaja demi keuntungan. Tiada keikhlasan, semuanya bersifat transaksi,” tulis Manohara lagi.

Pendedahan berani itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-rata meluahkan rasa simpati terhadap Manohara, selain mengecam tindakan Daisy Fajarina yang didakwa mengeksploitasi anak sendiri.

“Tidak hairanlah apabila Manohara dewasa, dia memilih untuk memutuskan hubungan demi kesihatan mental,” komen seorang pengguna media sosial.

Sehingga kini, Daisy Fajarina masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi menjawab dakwaan serius tersebut.

Dalam perkembangan lain, Manohara kini aktif sebagai aktivis hak asasi manusia dan sering bersuara mengenai isu kesihatan mental serta penderaan kanak-kanak, berbekalkan pengalaman pahit yang pernah dilaluinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN