KUALA LUMPUR: Restoran hidangan nasi padang milik pelawak, Ajak Shiro, Bumbu Babah, menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) selepas mencatatkan jualan tertinggi hidangan nasi padang dalam tempoh satu hari.
Pengiktirafan itu disampaikan oleh wakil MBR kepada Ajak atau Mohammad Hanaffi Razak, 40, susulan kejayaan Bumbu Babah menjual sebanyak 23,674 hidangan nasi padang dalam tempoh sehari pada 1 Januari lalu.
Menurut Ajak, rekod tersebut dicatatkan sepanjang operasi restoran dari 11 pagi hingga 10 malam, membabitkan semua cawangan Bumbu Babah di seluruh negara.
“Sejujurnya saya tidak pernah terfikir Bumbu Babah akan sampai ke tahap ini. Pada awalnya saya sendiri ragu-ragu sama ada hidangan nasi padang mampu diterima kerana ia bukan makanan tempatan.
“Namun selepas memulakan perniagaan, saya tidak sangka dalam tempoh lebih setahun kami berjaya mencatatkan jualan sebanyak 23,674 hidangan dalam satu hari.
“Jadi, saya amat bersyukur atas sokongan luar biasa daripada para pelanggan,” katanya.
Ajak ditemui Utusan Malaysia di cawangan Bumbu Babah di pusat beli belah MyTown, di sini, hari ini.
Mengulas cabaran sepanjang bergelar usahawan, Ajak mengakui berdepan pelbagai dugaan termasuk pertikaian status sijil halal ketika perniagaannya baru beroperasi.
“Antara cabaran terbesar ialah apabila ada pihak yang memviralkan isu sijil halal di media sosial. Hakikatnya, proses mendapatkan sijil itu memerlukan tempoh tertentu dan tidak boleh diperoleh serta-merta kerana syaratnya perlu beroperasi sekurang-kurangnya tiga bulan.
“Perkara sama turut dialami oleh Khairul Aming sekarang. Individu yang berilmu akan mencari jawapan secara mendalam, namun ada juga yang terus menghukum makanan ini sebagai haram,” katanya berseloroh.
Dalam tempoh tahun pertama operasi, Bumbu Babah telah menghidangkan lebih tiga juta hidangan nasi padang.
Jenama itu juga kerap menjadi tular di media sosial susulan barisan panjang pelanggan setiap kali pembukaan cawangan baharu, selain merekodkan lebih 200,000 ahli keahlian setakat ini. – UTUSAN










