PETALING JAYA: Penyanyi, Zehra Zambri mengesahkan telah memfailkan saman terhadap bekas suaminya, Nur Mohd Iqwan Samsudin susulan kenyataan unsur fitnah yang dilemparkan kepadanya.
Menurut Zehra, 38, Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan itu difailkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana bekas suaminya itu didakwa menyebarkan kenyataan yang mencalarkan reputasi sebagai penggiat seni semasa proses perceraian.
“Tindakan undang-undang ini diambil bagi membetulkan tanggapan awam, memulihkan nama baik saya serta menegakkan keadilan.
“Keputusan untuk memfailkan saman ini dibuat selepas saya menerima pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa bahawa laporan polis yang dibuat oleh bekas suami terhadap saya telah disiasat sepenuhnya.
“Pihak berkuasa telah memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan lanjut (NFA). Keputusan ini secara jelas membuktikan bahawa laporan tersebut adalah tidak berasas dan berunsurkan fitnah,” katanya.
Mengulas lanjut, Zehra menegaskan bahawa dia sentiasa meletakkan kepercayaan tinggi terhadap proses undang-undang yang telus di negara ini.
Tegasnya, tindakan sivil tersebut merupakan satu keperluan bagi membela diri dan menuntut ganti rugi atas kemudaratan teruk yang dialaminya akibat penyebaran fitnah berkenaan.
“Langkah ini semata-mata bertujuan untuk mendapatkan pembetulan pandangan awam dan ganti rugi bagi kemudaratan yang telah dialami.
“Saya berharap agar orang ramai dapat menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan tidak membuat sebarang spekulasi,” katanya.
Sebelum ini, Zehra telah sah bercerai talak satu dengan suaminya, Nur Mohd Iqwan Samsudin melalui talak raj’ie di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bangi, tahun lalu.










