KATA orang, betapa beruntungnya kita dapat merasai pengalaman, tidak kiralah sama ada yang manis mahupun yang tajam ditelan. Pelakon, Sweet Qismina baru sembilan tahun ketika memutuskan serius untuk menjadi anak seni.
Hasrat itu ditunaikan ibunya, Misnah Atan, yang kemudian mendedahkannya kepada dunia peragaan, kelas lakonan, tarian serta apa sahaja yang diperlukan untuk mengisi hati naifnya dengan ilmu dan keyakinan. Walau ketika itu, masing-masing belum dapat menduga sedalam mana selut, sebahang mana api yang boleh marak dalam dunia glamor jika tidak pandai membawa diri.
Arwah ayah tahu perjalanan yang bakal ditempuh Sweet tidak mudah dan hasrat itu sempat dibantah. Namun ibunya berjanji akan menemani jatuh bangun anaknya bersama-sama. Janji itu rupanya digenggam kemas kerana walaupun bapanya meninggal dunia pada usia Sweet 11 tahun, ibunya tetap di sisi sampailah pemilik nama Farhanna Qismina Supandi, 28, menggenggam tiga trofi anugerah berprestij dalam setahun, rekod paling cemerlang dicatatkan Sweet dalam perjalanannya sebagai anak seni.
“Watak pertama yang saya berlakon dalam drama Manjalara. Saya jadi karakter Manja lakonan kak Imelda waktu kecil. Waktu itu saya dapat RM50. Itulah permulaan saya.
“Selepas itu barulah saya berlakon Hikayat Putera Shazlan yang kemudian mendapat sambutan baik,” katanya.
Bagaimanapun, selepas lapan tahun bergelar pelakon, Sweet mula melihat tidak mudah untuk seorang pelakon kanak-kanak bertahan dan meyakinkan rumah produksi dirinya mampu membawa karakter lebih bervariasi. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Anugerah Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2025 kemudian melihat namanya digugurkan pihak produksi dengan alasan ‘wajah tidak cukup matang’.
“Banyak kali saya kena ‘buang’. Kadang itu sudah dapat tawaran, saya mula buat persediaan seperti baca novel asal naskhah tersebut. Tapi tiba-tiba saya diberitahu, nama saya digugurkan dan diganti dengan ‘heroin’ lain. Mereka cakap depan muka ‘tak jadi nak ambil awak’.
“Alasan sama, ‘masih nampak macam budak-budak’. Jadi oleh sebab sudah lali kena tolak, penat nak rasa kecewa, saya hanya terima tawaran karakter seumuran saya macam pelajar kampus,” katanya yang sempat bertukar bidang sebagai pengacara program kanak-kanak.

Saya pernah sombong, rasa paling ‘diva’ dan terleka dulu
Bercakap mengenai asam garam industri, Sweet tidak menafikan ada banyak cubaan dan godaan yang datang terutamanya ketika dia masih solo dan belum bergelar isteri kepada pelakon, Adam Lee. Jelasnya, di sinilah pentingnya seorang pelakon mempunyai prinsip hidup dan tidak mudah terikut dengan gaya kehidupan serba sosial.
Sepanjang pengamatannya sebagai anak seni, Sweet tidak menafikan sudah pernah melihat orang-orang ‘tersadung’, kerana tidak berhati-hati membawa diri dalam industri hiburan.
“Mungkin untungnya sebab saya ‘introvert’, saya jarang keluar bersosial walau yang ajak itu ramai. Sikap itu sebenarnya menyelamatkan saya dan anggap jika hal kerja, hanya di set sahaja. Saya tak bawa ke kehidupan peribadi.
“Dalam industri ini, semuanya tentang pilihan. Kalau awak ada niat untuk buat sesuatu pilihan, itu keputusan awak. Cuma jika tersilap langkah, awak mungkin akan hanyut. Kalau malam tadi awal buat apa-apa, saya tak akan menyibuk dan begitu juga sebaliknya.
“Saya mahu jaga nama, supaya andai suatu hari nanti saya tiada dalam dunia, nama saya masih terjaga. Itu yang saya pentingkan,” katanya.
Bagai sebuah roda, Sweet sudah pernah melihat ada penggiat seni yang melalui detik sukar dalam hidup hanya kerana pernah bersikap sombong ketika namanya sedang di puncak.
“Dari dulu sampai sekarang, saya tengok masing-masing punya perangai satu per satu baik senior mahupun junior. Saya bole simpulkan hidup ini macam ada ‘pattern’ dan kifarah memang nyata.
“Ada yang dahulunya berlagak, tapi lepas ‘musim’ berakhir, barulah mereka sedar kesilapan mereka. Saya nampak apa yang orang kata tentang ‘karma’ itu benar-benar wujud,” ceritanya.
Bagaimanapun, pengacara program Bintang Kecil 2023 itu tidak menafikan, dia juga pernah bersikap sombong ketika di usia muda, apalagi tidak ada remaja di sekolah yang boleh menandingi kejayaannya yang mucul di drama arus perdana Malaysia ketika itu.
“Waktu itu saya rasa selesa dalam industri, rasa macam boleh buat semua benda. Di sekolah pula rasa paling ‘diva’ sebab ramai kenal.
“Saya terleka sampai ke set penggambaran tak baca skrip. Sampailah pengarah panggil, tarik saya ke tepi dan marah saya. Dia tegur saya depan semua kru sampai muka saya bertukar merah.
“Tapi dari situ saya belajar kena jaga kualiti kerja. Jangan main-main sebab semua ini akan makan diri sendiri,” ceritanya.

Cinta sedalam Adam
Perkataan cinta lokasi, saya cocok menggambarkan kisah cinta Adam Lee dan Sweet apabila kisah cinta mereka berputih semasa masing-masing terlibat dalam penggambaran drama, Adam Chempaka. Pada awalnya, hasrat mereka mendirikan rumah tangga pada 2022 sempat ditentang orang sekeliling yang beranggapan populariti akan merudum selepas bergelar isteri.
“Sampai hari ini, Adam adalah penyokong nombor satu saya. Antara kami tiada rahsia sebab Adam jenis suka bercerita dan akan selalu ‘update’ tengah buat apa.
“Itu memang Adam, walaupun sebenarnya saya tidak pernah minta. Saya sentiasa percayakan dia. Saya fikir, itu memang ‘love language’, iaitu mahu luahkan semua perkara kepada kita sejak awal perkenalan lagi,” ceritanya.
Bercakap soal zuriat, dia dan Adam sedang berusaha ke arah itu namun tidak terlalu memikirkannya kerana mahu menikmati masa berdua sebaiknya sebelum dikurniakan rezeki.
“Kami macam pepatah Inggeris ‘go with the flow’, anggap sahaja ini fasa bulan madu berdua. Tambahan pula, anak buah saya ramai, belum lagi sepupu. Kalau dicampur ada 60 orang juga memandangkan ibu saya ada 15 orang adik beradik.
“Sebab itu waktu nikah saya tak ajak orang luar sebab keluarga sendiri pun sudah ramai. Jadi dengan kemeriahan ini, kami tak fikir perlu tergesa-gesa dan nikmati sahaja hidup ini bersama-sama,” katanya.










