PETALING JAYA: Baru sahaja mengumumkan secara rasmi bakal membuat konsert jelajah, kumpulan K-Pop, BTS berjaya membuat peminat tegarnya yang dipanggil Army histeria kerana teruja dengan pengumuman itu.
Malah, kumpulan tersohor yang berasal dari Korea Selatan itu turut menjadikan Kuala Lumpur sebagai salah satu destinasi konsert sekali gus membuatkan para peminat tidak sabar untuk bertempur membeli tiket.
Pun begitu, ada sesetengah peminat meluahkan kebimbangan mereka susulan menyedari terdapat segelintir pempengaruh dan individu yang merancang untuk ikut berebut membeli tiket tersebut hanya kerana takut ketinggalan atau ‘Fear of Missing Out’ (FOMO).
Hasil tinjauan di media sosial, rata-rata peminat bagai memberi amaran kepada golongan tersebut supaya mengutamakan mereka yang telah menyokong kumpulan itu sejak awal kemunculan untuk membeli tiket terlebih dahulu.
“BTS in Malaysia. Maaf kali ini battle tiket konsert lebih baik beri peluang untuk army (peminat), bukannya pada pempengaruh yang nak pergi konsert hanya untuk hype,” tulis seorang netizen.
Meskipun tiada sebarang sebutan tarikh yang diumumkan bagi konsert itu berlangsung, ada juga sesetengah Army yang bimbang mereka akan terpinggir kerana tidak berjaya untuk mendapatkan tiket dek sikap FOMO segelintir individu.
“Alamak saya dah nampak influencer yang FOMO nak join battle tiket konsert BTS. Tolonglah bagi army sebenar yang pergi. Setakat tahu lagu Butter, Dynamite tak payahlah,” luah peminat.
“Walaupun kita tak minat BTS, tapi yang golongan FOMO, influencer yang hanya tahu lagu-lagu baru BTS korang tak payahlah join battle tiket konsert nanti. Bagi peluang untuk peminat yang minat BTS dari mereka tak ada apa sampai dah popular ini beratur beli tiket,” tulis netizen.
Selepas empat tahun tidak bergiat aktif dalam industri muzik kerana menjalani latihan khidmat tentera, kumpulan yang dianggotai RM, Jin, Suga, j-hope, Jimin, V, dan Jung Kook itu bakal membuat kemunculan semula pada 20 Mac ini.
Khabar gembira buat peminat tegar kumpulan yang terkenal menerusi lagu No More Dream itu disahkan oleh BigHit Music, hari ini.
Selain Kuala Lumpur, konsert jelajah itu dilaporkan bakal diadakan di 34 buah bandar termasuk Tokyo, Los Angeles, Bangkok, Singapura, Jakarta, Sydney, London dan Madrid.
Bagaimanapun, tempat acara, tarikh dan harga jualan tiket konsert jelajah itu belum diumumkan secara rasmi.










