KUALA LUMPUR: Perbezaan antara nama pentas dan nama sebenar Bront Palarae mencetuskan persoalan dalam kalangan netizen, sekali gus mendorong pelakon itu tampil menjelaskan perkara sebenar.
Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, 47, berkata nama Bront Palarae merupakan gabungan panggilan mesra rakan-rakan ketika di bangku sekolah serta nama keluarga sebelah ibunya yang berasal dari Thailand.
Menurutnya, perkara tersebut sebenarnya pernah dikongsikan sebelum ini menerusi beberapa platform termasuk podcast, namun kembali menjadi tular kebelakangan ini.
“Saya sebenarnya sudah kongsikan perkara ini dalam beberapa podcast sebelum ini.
“Nama Bront itu evolusi panggilan kawan-kawan dari zaman sekolah, manakala Palare pula adalah nama keluarga sebelah ibu di Thailand,” katanya.
Bront berkongsi perkara itu ketika ditemui pada Warna Lebaran Ariani Fashion Show 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.
Menurut pelakon filem Pengabdi Setan itu, pemilihan nama pentas berkenaan dibuat bagi menampilkan kelainan selain memberi elemen misteri dalam perjalanan kerjaya lakonannya.
“Kalau saya guna nama Nasrul Suhaimin Saifuddin, ia kedengaran terlalu ‘baik’. Watak apa yang boleh saya bawa?
“Bila guna nama Bront Palarae, orang jadi tertanya-tanya saya ini siapa. Ia lebih unik dan ada elemen misteri,” ujarnya.
Mengimbau kembali awal pembabitannya dalam industri seni, Bront mengakui penggunaan nama tersebut pernah menimbulkan kekeliruan terhadap latar belakang agamanya.
“Ada satu ketika dahulu, apabila saya memberi salam, ada yang tidak berani menjawab kerana keliru sama ada saya seorang Muslim atau tidak.
“Namun perkara itu hanya berlaku pada peringkat awal. Sekarang orang sudah faham dan tidak lagi timbul sebarang isu,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Bront yang dilantik sebagai duta pertama jenama Aryan menyifatkan kerjasama tersebut sebagai satu rezeki serta tanggungjawab besar dalam membantu mempromosikan jenama tempatan ke peringkat antarabangsa.
Katanya, keputusan menerima tawaran berkenaan dibuat selepas mempertimbangkannya selama beberapa bulan selain melihat kesesuaian dengan keselesaan dirinya.
“Mungkin ini rezeki saya dan saya sangat berbesar hati serta bangga. Apabila ke luar negara nanti, mungkin ada yang bertanya jenama apa yang saya pakai.
“Harapnya dengan peranan ini, saya dapat membantu memperkenalkan jenama tempatan ke peringkat antarabangsa sama ada di Indonesia, Thailand atau negara lain, secara tidak langsung mewakili Malaysia,” katanya.










