Merayu Angan satukan Siti Nordiana dan Apit Tearra - Utusan Malaysia

Merayu Angan satukan Siti Nordiana dan Apit Tearra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Industri muzik tempatan terus menyaksikan evolusi apabila sebuah kolaborasi berani dan segar dipertaruhkan menerusi single terbaharu berjudul Merayu Angan, yang menghimpunkan ikon suara jiwang tanah air, Siti Nordiana bersama artis rap generasi baharu yang kian mencuri perhatian, Apit Tearra.

Menariknya, Merayu Angan tampil dengan konsep rap berunsur jiwang leleh, satu pendekatan yang jarang diterokai secara serius dalam landskap muzik tempatan. Gabungan emosi cinta yang rapuh dengan susunan rap yang lembut, puitis dan penuh penghayatan menjadikan karya ini dekat dengan perasaan pendengar daripada pelbagai latar dan generasi.

Antara kekuatan utama lagu ini ialah keberanian Siti Nordiana yang buat julung kalinya menyuntik elemen rap dalam sebuah karya. Dikenali menerusi rangkaian lagu balada sarat emosi, percubaan tersebut menampilkan sisi baharu penyanyi berkenaan yang lebih segar, matang dan kontemporari, tanpa mengorbankan identiti jiwang yang sinonim dengan namanya.

Menurut Siti Nordiana, Merayu Angan merupakan satu pengalaman berbeza sepanjang perjalanan seninya.

“Ini kali pertama saya mencuba elemen rap dalam sebuah lagu dan pada awalnya memang timbul rasa gementar. Namun selepas memahami keseluruhan konsep, saya melihat ia sebagai sesuatu yang segar dan jujur. Gabungan rap dan jiwang ini memberi ruang kepada saya untuk mengekspresikan emosi dengan cara yang baharu,” katanya.

Sementara itu, Apit Tearra pula tampil dengan pendekatan rap yang menyimpang daripada kebiasaan arus perdana. Menerusi gaya rap jiwang leleh yang sarat emosi, beliau menyampaikan lirik yang dekat dengan realiti serta perasaan pendengar tempatan, sekali gus mengukuhkan identitinya sebagai bakat baharu dengan warna tersendiri dalam industri muzik.

“Hasrat saya adalah untuk menjadikan Merayu Angan sebagai lagu rap yang dekat dengan perasaan orang kita. Ia bukan rap yang keras, sebaliknya rap yang jujur dan leleh. Bekerja dengan Siti Nordiana satu penghormatan besar kerana beliau membawa emosi dan kekuatan vokal yang sangat mendalam, sekali gus menghidupkan lagu ini dengan cara yang tidak pernah saya bayangkan sebelum ini,” ujarnya.

Kolaborasi ini membuktikan bahawa dua genre berbeza, rap dan jiwang, mampu disatukan secara harmoni, sekali gus membuka ruang baharu dalam penerokaan muzik tempatan serta menawarkan kelainan kepada pendengar arus perdana.

Single Merayu Angan kini boleh distrim di semua platform digital utama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN