Konsert bertaraf antarabangsa: Boleh, cuma perlu ada ‘ongkosnya’ - Siti Nurhaliza

Konsert bertaraf antarabangsa: Boleh, cuma perlu ada ‘ongkosnya’ – Siti Nurhaliza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak menafikan bahawa sesebuah konsert bertaraf antarabangsa sebenarnya mampu direalisasikan sepenuhnya oleh anak tempatan, asalkan mempunyai kos dan dana yang setimpal dengan skala produksi yang diimpikan.

Menurut biduanita negara itu, Malaysia memiliki ramai tenaga kreatif, kru produksi, penari, pereka fesyen serta jurutera teknikal yang berkualiti tinggi dan berpengalaman luas.
Namun tahap akhir sesuatu persembahan sering kali ditentukan oleh kemampuan kewangan yang tersedia.

“Bagi saya, bakat dan kepakaran anak tempatan memang sudah berada pada tahap yang sangat membanggakan.

“Kita ada orang yang boleh buat rekaan pentas, susunan muzik, pencahayaan dan persembahan tarian yang setanding dengan produksi antarabangsa. Bezanya hanyalah pada peruntukan kos.

“Orang kata, nak buat persembahan macam mana hebat pun boleh untuk sesebuah konsert. Tetapi perlu ada ‘ongkosnya’,” katanya ketika ditemui di Majlis Sidang Media Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain itu, Siti berkata, penghasilan konsert berskala besar memerlukan pelaburan yang tinggi merangkumi aspek teknikal, teknologi visual, kostum, susunan muzik, logistik serta kebajikan kru, yang semuanya menyumbang kepada kualiti keseluruhan sesebuah persembahan.

“Kalau kos itu mencukupi, kita sebenarnya tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada tenaga luar. Anak tempatan mampu buat, dan boleh buat dengan sangat baik,” jelasnya.

Dalam masa sama, penyanyi ini menegaskan bahawa setiap konsert yang dihasilkan bukan sekadar persembahan hiburan semata-mata, sebaliknya menjadi platform penting untuk membuka peluang pekerjaan dan menjana ekonomi kreatif tempatan.

“Setiap konsert besar melibatkan ratusan hingga ribuan tenaga kerja.

“Ia memberi peluang kepada ramai orang untuk terlibat secara langsung dalam industri hiburan, daripada kru teknikal, penari, pemuzik, pereka fesyen hinggalah kepada peniaga kecil di sekitar lokasi persembahan,” katanya.

Siti turut menjelaskan bahawa kehadiran penaja amat membantu dalam merealisasikan konsert berskala besar kerana ia mampu meringankan beban kos penganjur dan pada masa yang sama memberikan situasi menang-menang antara artis, penganjur dan penaja.

“Dengan adanya sokongan penaja, kita dapat meningkatkan kualiti persembahan dan memastikan penonton memperoleh pengalaman yang memuaskan.

“Ini penting kerana konsert yang bermutu akan menjadi penanda aras kepada industri hiburan tempatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Siti turut menekankan bahawa penganjuran konsert bukan hanya soal keuntungan, sebaliknya ia merupakan satu pelaburan kepada reputasi dan legasi seseorang artis.

Persembahan yang berkualiti tinggi bukan sahaja meninggalkan kenangan kepada peminat, malah mampu mengangkat imej artis dan industri muzik tempatan ke peringkat lebih tinggi.

 

Stadium Nasional Bukit Jalil jadi saksi

Sementara itu, menjelang konsert mega sempena 30 tahun pembabitannya dalam industri seni pada 10 Januari ini, Siti mengakui kini berada pada tahap persiapan paling intensif, termasuk memperkemaskan stamina, vokal dan elemen tarian bagi memastikan setiap persembahan tampil lebih hidup serta bertenaga.

Menurut Siti, dia bersama pasukannya sudah menjalani latihan lebih sebulan bersama penari dan pemuzik, malah mula memasuki fasa latihan penuh yang lebih menyeluruh dalam minggu ini.

“Saya sekarang lebih fokus kepada stamina dan juga tarian seperti yang disarankan oleh Jasmine. Saya bukan mahu menjadi seperti Britney Spears yang perlu menari dan menyanyi serentak, tetapi saya masih mengekalkan kekuatan nyanyian dalam setiap persembahan.

“Tarian hanyalah untuk mencantikkan persembahan supaya apabila ada koreografi, ia kelihatan lebih hidup dan tidak sekadar berdiri kaku,” katanya.

Mengakui perasaan gementar semakin dirasai apabila konsert semakin hampir, Siti bagaimanapun berkata keterujaan untuk kembali ke pentas mega turut mengatasi segalanya.

“Perasaan gementar itu biasa, tetapi sebaik sahaja melangkah ke atas pentas dan mula menyanyi, semuanya akan hilang. Minggu terakhir sebelum konsert memang sangat meletihkan, sampai selera makan pun berkurang kerana jadual latihan yang padat,” jelasnya.

Dari segi penjagaan vokal, Siti menegaskan dirinya amat menitikberatkan aspek pemakanan dengan mengelakkan minuman berais dan lebih berdisiplin dalam pemilihan makanan, khususnya sebulan sebelum konsert.

“Ais memang pantang saya sejak sebelum berkahwin lagi. Lepas konsert barulah saya ‘reward’ diri. Makanan pedas tidak menjadi masalah, malah semakin pedas semakin baik,” ujarnya.

Untuk konsert mega di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Siti bakal mempersembahkan lebih 30 buah lagu termasuk medley, lagu penuh serta duet, dengan durasi sekitar tiga jam.

Senarai lagu pula merangkumi karya-karya ikonik yang menjadi nadi kejayaannya sepanjang tiga dekad dalam industri seni.

“Saya akui ada tekanan kerana ramai mengharapkan konsert ini menjadi yang terbaik dalam sejarah kerjaya saya. Tetapi ini tekanan yang baik kerana semua orang mahu memberikan yang terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Siti turut menampilkan Cakra Khan, Noh Salleh, Hafiz Suip dan Umairah sebagai artis undangan yang bakal menyerikan lagi persembahannya.

Tiket konsert telah mula dijual sejak 1 Oktober lalu menerusi www.ticket2u.com.my, dan dijangka sekitar 62,000 penonton akan memenuhi stadium ikonik itu.

Persembahan ini turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Istana Budaya, dengan penampilan Orkestra Simfoni Kebangsaan, Orkestra Tradisional Malaysia dan Artistana Istana Budaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN