Keringat, air mata tiga dekad Haiza - Utusan Malaysia

Keringat, air mata tiga dekad Haiza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIGA dekad usia perjalanan penyanyi dan penyampai radio, Haiza yang sehingga ke titik ini terus mengabdikan diri sebagai anak seni.

Selain usaha dan kegigihan, kelangsungan karier anak kelahiran Pontian Johor ini juga diiringi restu orang tuanya, Nordin Daud dan Zainab Ebar.

Haiza atau Rohaizah Nordin bersyukur kerana pembabitan dalam dunia nyanyian mendapat sokongan penuh ibu ayah, lebih-lebih lagi bapanya yang sedari dulu sentiasa memberi galakkan dan dorongan.
Malah kata Haiza, bapanya merupakan individu yang setia di sisinya sewaktu awal pembabitan sebagai penyanyi.

“Ayahlah yang menemani saya sepanjang proses penghasilan album pertama, Dag Dig Dug…Mana Tahan pada 1995. Saya masih ingat pada tahun itu, kami pernah ditinggalkan pemandu teksi yang menipu perjalanan.

“Kejadian itu berlaku selepas sesi fotografi album tersebut, saya dan ayah menaiki teksi untuk ke rumah kakak saya di Gombak. Namun kami ditipu pemandu berkenaan yang tidak menghantar kami ke destinasi sebaliknya menurunkan kami di Jalan Sultan Hishamuddin. Terpinga-pinga kami dibuatnya.

“Itu antara pengalaman duka yang saya kenang sampai sekarang. Saya dengan ayah melalui susah senang bersama,” kongsinya.

Kata Haiza, pencapaian yang dikecapi hari ini adalah hasil perahan keringat dan air mata selama 30 tahun.

Katanya, dia pernah dipandang sebelah mata kerana statusnya sebagai penyanyi dangdut yang hanya dipanggil menyanyi apabila diperlukan.

“Selain itu, saya juga puas berdepan penipuan membabitkan bayaran. Pernah sekadar dibayar RM100 selepas membuat persembahan.

“Itu belum lagi persembahan dibatalkan penganjur selain bersiap di ruang dapur sambil menyaksikan tikus berkeliaran kerana tidak disediakan ruang menyalin pakaian .

“Itulah yang saya lalui sebelum sampai ke tahap ini. Semua itu saya anggap pengalaman yang cukup mendewasakan.

“Pengalaman-pengalaman itu juga yang sentiasa mengingatkan saya agar tidak terlalu mendongak ke langit,” katanya.

Haiza bagaimanapun bersyukur kerana masih mempunyai orang tua yang dapat melihat kejayaannya hari ini.

“Alhamdulillah, mak saya berusia 76 tahun, manakala ayah pula 89 tahun. Mereka masih ada dan dapat melihat perjalanan seni saya sampai sekarang. Mereka gembira kerana selepas tiga dekad tanpa sebarang anugerah, akhirnya saya menggenggam trofi Penyampai Radio Popular baru-baru ini,” kongsinya.

PENDAPATAN PULUHAN RIBU

Tahun 1995 menyaksikan kerancakan muzik dangdut yang didominasi penyanyi seperti Ramlah Ram, Amelina dan Sheeda yang lebih awal mendominasi genre muzik berkenaan.

Haiza yang pada ketika itu baru menapak, beruntung kerana single pertamanya, Dag Dig Dug diterima baik pendengar, sekali gus melonjakkan namanya.

“Penyanyi dangdut mudah dikenali sekitar era itu disebabkan kelompok kami tidak ramai. Meskipun bergelar penyanyi baru, saya sudah pun menerima jemputan untuk berkongsi pentas dengan Amelina dan Sheeda, penyanyi senior. Kami dibawa menjelajah banyak negeri membuat persembahan,” katanya.

Haiza boleh dikategorikan sebagai penyanyi cukup bertuah kerana lagu Dag Dig Dug menjadi antara lagu dangdut yang mencipta fenomena dan sering berkumandang dalam radio.

“Lagu Dag Dig Dug berterusan diputarkan selama empat tahun. Rezeki saya kerana disebabkan lagu itu, album pertama saya terjual hampir 50,000 unit. Disebabkan lagu itu jugalah, jadual nyanyian saya padat bertahun-tahun.

“Sepanjang fasa itu, saya terima empat tawaran menyanyi dalam sehari, dari pagi membawa ke malam dengan bayaran antara RM3,000 hingga RM5,000 untuk satu persembahan.

“Mengikut perkiraan, pendapatan saya dalam satu bulan boleh cecah puluhan ribu ketika itu,” kongsinya.

 

NYANYIAN TETAP DITERUSKAN

Haiza berterima kasih kepada peminat yang sehingga sekarang menghargai bakat nyanyiannya meskipun kerjayanya ketika ini lebih rancak di konti radio.

Katanya, dalam keadaan apa sekalipun, kerjaya nyanyian tetap diteruskan demi peminat yang selama ini memberi sokongan.

“Saya tidak pernah lupa yang saya ini seorang penyanyi. Dan saya juga berterima kasih kepada peminat yang sentiasa mengingatkan saya mengenai kerjaya asal saya.

“Demi peminat, saya merancang untuk menerbitkan sebuah lagu baharu tahun ini.

“Proses rakaman lagu itu sudah pun selesai dan sekarang ini cuma menunggu masa untuk dilancarkan. Insya-Allah tidak lama lagi, saya perlukan tarikh yang sesuai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN