Pertimbang Sathia sebagai penerima pencen bulanan - DJ Dave - Utusan Malaysia

Pertimbang Sathia sebagai penerima pencen bulanan – DJ Dave

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) mempertimbangkan untuk menyenaraikan pelakon komedi Sathia sebagai antara penerima bantuan pencen bulanan sebanyak RM500.

Pengerusinya, Datuk Irwan Shah Abdullah atau DJ Dave berpendapat Sathia layak kerana pelakon sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu tidak lagi mampu bekerja kerana komplikasi kesihatan.

“Antara penerima pencen ini adalah Zaiton Sameon, Mat Sentul, Zainal Rampa, Alfred Ho, Dr. Sam dan beberapa lagi artis veteran.

“Kami sedang pertimbangkan untuk menyenaraikan Sathia sebagai penerima kelapan berikutan keadaannya yang mungkin tidak lagi mampu bekerja,” katanya yang ditemui pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Sempena Hari Raya Aidilfitri kepada Artis-Artis Veteran Tanah Air, semalam.

Sathia atau Sathia Periasamy, 62, yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi baru-baru ini sekali lagi terpaksa menjalani pembedahan pada bahagian kaki kirinya di Hospital Ampang.

DJ Dave dalam masa yang sama memaklumkan bahawa pihaknya sebelum ini juga telah berusaha mendapatkan bantuan kaki palsu sumbangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk Sathia.

“Kaki palsu tersebut sudah pun siap namun belum dapat digunakan Sathia kerana luka yang belum sembuh,” kongsinya.

Sementara itu, DJ Dave yang juga popular menerusi lagu Menjelang Hari Raya berharap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian peruntukan untuk membolehkan YKAT terus membantu artis-artis veteran yang ditimpa kesusahan.

“Sudah lapan tahun YKAT tidak menerima sebarang sumbangan daripada kerajaan. Beberapa kertas cadangan telah dihantar namun tiada maklum balas kami terima. Mungkin belum ada rezeki.

“Setakat ini YKAT bergantung kepada program-program kebajikan yang kami anjurkan untuk mengumpul dana. Contohnya tahun lepas kami laksanakan majlis makan malam di Sime Darby Convention Centre dan berjaya mengumpul sekitar RM300,000 hasil jualan tempat duduk.

“Dana terkumpul itu membolehkan kami meneruskan program-program kebajikan untuk membantu ramai artis veteran yang dalam kesusahan.

“Oleh itu kami juga berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk salurkan peruntukan agar kami dapat membantu lebih ramai artis veteran,” jelasnya.

Dalam pada itu, kira-kira 17 artis veteran menerima sumbangan berupa wang tunai bernilai RM1000 semalam majlis berbuka puasa di Hotel Royal Chulan The Curve. Antara penerima adalah Zaidi Omar, Sohaimi Mior Hassan, Khoo Siew Bee, Selvaraja Govindasamy, Shahriza Mahmud, Fairuz Husin dan ramai lagi- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN