Umum tahu, semakin banyak insiden mengenai isu penipuan pakej umrah dan haji yang berlaku dan menimpa sesetengah pihak.
Sudah tentu ia seharusnya dipandang serius oleh masyarakat Islam, khususnya mereka yang menyimpan impian untuk menjadi tetamu Allah SWT.
Hal yang sama, turut ditekankan oleh pengacara dan personaliti televisyen, Keanu Azman. Menurut Keanu, keghairahan untuk menunaikan ibadah tidak seharusnya mengaburi kewajipan membuat penelitian rapi.
Ini kerana baginya, kesilapan memilih agensi bukan sahaja boleh menjejaskan pengalaman ibadah, malah berisiko mendatangkan kerugian besar.
Disebabkan itu,Keanu menegaskan setiap individu harus meletakkan kepentingan memilih agensi umrah yang benar-benar berlesen, berpengalaman dan diiktiraf, terutama ketika banyak kes penipuan pakej umrah dan haji dilaporkan.
“Saya mengakui lebih selesa menggunakan khidmat agensi kerana urusan seperti penerbangan, penginapan, makanan dan pergerakan jemaah diuruskan dengan lebih sistematik dan teratur.
“Setakat ini, saya telah tiga kali menggunakan perkhidmatan agensi umrah yang sama kerana berpuas hati dengan tahap profesionalisme dan ketelusan yang ditawarkan.
“Saya akan tanya pengikut media sosial dan orang sekeliling sama ada mereka pernah menggunakan agensi itu atau tidak. Saya juga akan elakkan agensi baharu yang tiada ulasan kerana risikonya tinggi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Keanu turut menekankan bahawa kualiti perkhidmatan memainkan peranan besar dalam memberi ketenangan hati sebelum dan sepanjang menunaikan umrah, termasuk aspek makanan, lokasi hotel yang tidak terlalu jauh dari Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, serta peranan mutawif yang cekap dan berilmu.
“Khidmat mereka sangat mainkan peranan. Contohnya, kualiti makanan yang disediakan, pilihan hotel yang selesa dan tak seberapa jauh dari masjidil haram dan masjid nabawi, dan kualiti mutawif.
“Mutawif sangatlah penting sebab kalau mutawif tak pandai bimbing jemaah, memang tak akan dapat pengalaman umrah yang baik. Setakat ini semua mutawif saya pernah dapat semua bagus bagus Alhamdulillah,”katanya.

Mengulas mengenai pakej umrah yang terlalu murah, Keanu mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang kelihatan menarik tetapi tidak munasabah.
Sebaliknya, orang ramai disaran meneliti butiran penginapan, tahap respons mutawif serta cara agensi menguruskan jemaah sebelum berangkat, kerana harga yang terlalu murah sering kali membawa kepada perkhidmatan yang tidak bermutu.
“Saya harap, sesiapa yang hendak menunaikan ibadah umrah atau haji, buatlah kajian terperinci sebelum memilih pakej, termasuk memilih syarikat yang telah lama beroperasi. Ini termasuk melihat kepada agensi yang mempunyai banyak ulasan positif serta menawarkan penerbangan dan hotel yang berkualiti.
“Umrah dan haji bukan sekadar perjalanan ibadah, tetapi amanah besar yang menuntut persediaan rapi, keikhlasan dan ketenangan hati,”katanya.

Fokus ibadah
Dalam pada itu, Keanu tidak menolak dalam kesibukan kerjaya sebagai personaliti televisyen, Tanah Suci menjadi satu-satunya tempat yang benar-benar memberi ruang untuk dirinya memfokuskan diri kepada ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT tanpa gangguan urusan duniawi.
Disebabkan itulah, Keanu mengakui dia tergerak hati untuk menunaikan umrah hampir setiap tahun kerana di situlah dirinya dapat merasai ketenangan sebenar serta peluang untuk beribadah.
“Dengan jadual kerja yang padat, Tanah Suci adalah tempat saya boleh betul-betul fokus pada ibadah dan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Sebab itu saya pilih untuk pergi umrah pada bulan Januari, sebagai permulaan tahun baharu dengan penyucian spiritual, dengan harapan tahun yang mendatang berjalan lancar dan diberkati,” katanya.
Mengulas sokongan yang diterima, Keanu memberitahu ibunya merupakan individu paling kuat mendorongnya untuk menunaikan umrah kali ini, termasuk memberi galakan agar dia merasai pengalaman menunaikan umrah secara bersendirian.
Sebelum ini, Keanu membawa ibunya bersama adik pada 2023 dan bapanya pula pada 2024, sekali gus menjadikan umrah solo sebagai satu pengalaman baharu yang disifatkan lebih mendalam dari sudut refleksi diri dan hubungan dengan Allah SWT.
Keanu turut mengakui setiap kali pulang dari Tanah Suci, dia merasakan perubahan ketara dalam kehidupan, khususnya dari segi kemanisan iman dan kualiti ibadah.
Menurutnya, rasa cinta terhadap Allah SWT dan Rasulullah SAW semakin meningkat, sekali gus mendorongnya untuk sentiasa kembali menjejakkan kaki ke Tanah Suci sebagai satu keperluan rohani, bukan sekadar rutin tahunan.










