Nama Joey Daud bukan sekadar sinonim dengan dunia lakonan dan komedi, sebaliknya tersimpan sisi peribadi yang jarang didedahkan kepada umum.
Di sebalik watak-watak yang mencuit hati, pelakon berusia 53 tahun itu, mempunyai minat mendalam terhadap khazanah lama yang sarat nilai sejarah dan seni. Bermula daripada koleksi patung mainan popular,
Joey kini melangkah jauh menyusuri lorong masa silam dengan mengumpul barangan antik bernilai tinggi.
“Pada awalnya, saya suka mengumpul patung mainan seperti Iron Man, Batman, Star Wars dan sebagainya. Namun, bila saya bersihkan semua koleksi tersebut saya tersedar bahawa rumah saya terlampau banyak patung.
“Kemudian, saya mengambil keputusan untuk menjual koleksi tersebut dan mula mengumpul barang antik serta pakaian yang unik di kedai barangan terpakai.
“Antara barangan antik pertama yang saya kumpul adalah sebuah pelita amoi kegemaran arwah bapa saya yang saya terjumpa di kedai sebuah perkampungan. Dari situlah bermulanya hobi mengumpul barang antik,” katanya kepada Pancaindera.

Tambah Joey, dia tidak sangka meskipun perlu berbelanja puluhan ribu ringgit untuk sesebuah barangan antik, pulangan yang diterimanya juga lebih lumayan.
“Selain barangan antik, saya juga kumpul lukisan. Walaupun harganya mahal tetapi pada saya ia pelaburan baik kerana tidak basi. Makin lama harganya makin mahal.
“Ada pihak muzium yang datang mahu membeli koleksi barangan antik yang saya miliki. Tetapi, saya belum sedia untuk menjualnya.
“Pada saya, saya bukan sekadar membeli dan mengumpul barang antik. Saya beli masa kerana ada saja barangan yang saya miliki telah wujud sebelum zaman datuk nenek kita lagi,” jelasnya.

Lebih menarik lagi, pelakon filem 18 Puasa di Kampong Pisang itu sempat meluahkan hasratnya untuk membuat sebuah pameran sekiranya koleksi barangan antik di Malaysia sudah mencukupi.
“Saya anggap benda ini sebagai ilmu yang boleh diperkenalkan kepada golongan muda agar mereka tahu jenis bahan atau reka bentuk sesuatu barangan yang tidak luput ditelan zaman,” ringkasnya.
Ditanya mengenai cara penjagaan dan penyimpanan, Joey memaklumkan dia mempunyai dua premis untuk menyimpan koleksi barangan antik yang dimiliki.
“Saya tidak menyimpan barangan antik di rumah kerana bimbang ia rosak. Jadi, saya ada sebuah stor simpanan di Kuala Lumpur iaitu King Vintage yang menyimpan barangan antik seperti perkakas rumah. Lagi satu stor di Muar, Johor untuk menyimpan barang besar yang kebanyakannya dari warisan Johor sendiri.
“Antara barangan antik yang paling unik saya miliki, barangan Baba dan Nyonya pada abad ke-18 dan pinggan-pinggan pada zaman Rasulullah yang ditulis tangan.
“Pihak muzium pun sudah sahkan pinggan itu memang dari zaman Rasulullah. Tetapi saya tidak mahu pamerkan kerana bimbang akan menimbulkan persepsi yang bukan-bukan,” tambahnya.

Cakna akan tanggapan sesetengah pihak mengenai barangan antik yang sinonim dengan perkara mistik, Joey syukur dirinya belum pernah berdepan dengan sebarang gangguan.
“Ada berpendapat sesetengah barangan antik itu mempunyai pendamping. Namun, sudah berpuluh tahun saya kumpul barangan antik, syukur tiada sebarang gangguan kerana saya tidak memujanya. Saya hanya mahu menghargai seni,” katanya.
Pun begitu, pelakon itu turut berkongsi beberapa pengalaman aneh yang berlaku sepanjang dirinya menjadi pengumpul tegar barangan antik.
“Pernah suatu ketika, saya beli sebentuk kunci. Kunci itu bersaiz besar yang saya jangka mungkin kunci untuk pintu gerbang. Ketika saya buka bungkusan tersebut di rumah, bilangannya bertukar menjadi tiga.
“Saya cuba hubungi pemilik kedai barangan antik itu untuk mendapatkan kepastian. Pemilik kedai itu memaklumkan bahawa kunci yang saya beli itu hanya satu sahaja. Jadi, saya pun simpan kunci itu di dalam sebuah bingkai gambar.
“Ada juga beberapa individu yang datang ke tempat simpanan saya yang memaklumkan mereka terlihat entiti menyerupai orang tua di sesetengah barangan,” kongsinya.










