KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Erra Fazira menjelaskan perkongsian foto buah zuriat oleh suaminya, Ezwan Zain ketika menunaikan ibadah umrah baru-baru ini hanyalah sekadar gurauan dan tidak membawa sebarang maksud tersirat, seperti yang dispekulasikan netizen.
Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 52, berkata, secara peribadi dia tidak pernah meletakkan sebarang perancangan untuk kembali hamil, namun tetap menyerahkan segala ketentuan kepada Allah SWT.
Menurutnya, sebelum mendirikan rumah tangga, perkara berkaitan zuriat sudah dibincangkan secara terbuka memandangkan faktor usia menjadi pertimbangan utama mereka.
“Ezwan memang suka bergurau. Saya sendiri pun tidak tahu itu buah zuriat. Saya anggap ia sekadar gurauan semata-mata.
“Saya sudah set dalam fikiran bahawa ia tidak sesuai untuk saya hamil pada usia sekarang. Namun, jika Allah berkehendakkan sesuatu, kita tidak mampu menolaknya.
“Sejak awal kami sudah berbincang. Jika dia benar-benar mahu anak, dia perlu berkahwin dengan wanita lebih muda,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan kafe Cluck’n Cone di Jalan Changkat, di sini, hari ini.
Pasangan yang bergelar suami isteri pada 12 Disember lalu itu hadir bagi melancarkan premis makanan segera milik bumiputera terbabit sebagai tanda sokongan.

Dalam pada itu, Erra menjelaskan mereka lebih selesa menjalani kehidupan berumah tangga tanpa perancangan untuk menambah ahli keluarga kerana masing-masing sudah mempunyai anak.
“Saya tidak merancang apa-apa. Alhamdulillah kami sudah memiliki anak dan masing-masing sudah ada teman untuk anak-anak kami. Kami hanya mahu meneruskan kehidupan dengan tenang.
“Faktor usia juga menyebabkan kami tidak meletakkan sebarang harapan untuk menambah zuriat,” katanya.
Tambah Erra, faktor kesihatan turut menjadi sebab utama dia tidak meletakkan harapan untuk hamil dan sentiasa mendapatkan nasihat serta pemeriksaan doktor.
“Jika ada rezeki, adalah. Tetapi saya sedar 80 peratus perkara itu tidak akan berlaku. Doktor juga menasihatkan saya supaya tidak hamil atas faktor usia,” ujarnya.
Sebelum ini, Ezwan mencetuskan spekulasi dalam kalangan netizen apabila memuat naik foto memegang gambar buah zuriat ketika berada di Tanah Suci, sekali gus menimbulkan andaian pasangan itu bakal menimang cahaya mata.
Untuk rekod, Erra sah bergelar isteri kepada Ezwan pada 12 Disember lalu di Rinjani Majestic, Subang selepas 11 tahun bergelar ibu tunggal.
Erra sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003, namun bercerai pada 2006. Beliau kemudian berkahwin dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin pada 2007 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya sebelum berpisah pada 2014.
Ezwan pula sudah lapan tahun bergelar duda dan memiliki seorang cahaya mata.










