KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya berangkat menunaikan ibadah umrah tanpa keizinan suami disangkal pelakon, Linda Hashim, menegaskan perjalanan ke Tanah Suci itu dilakukan atas dasar ketaatan kepada Allah SWT, bukan menurut kehendak manusia.
Linda atau Norhazlinda Hashim, 42, berkata keputusan berkenaan dibuat selepas mendapatkan pandangan agamawan yang menyifatkan keizinan suami tidak lagi relevan sekiranya tanggungjawab sebagai ketua keluarga gagal ditunaikan, termasuk isu nafkah serta perbuatan yang memudaratkan emosi isteri.
“Perlu ke saya minta izin seperti dia? Saya sudah bertanya ustaz dan ustazah. Mereka kata, Linda, pergilah. Kau perlu taat kepada Allah.
“Apabila suami memudaratkan, tidak memberi nafkah, dia sudah tidak layak memegang peranan sebagai khalifah. Saya pergi untuk beribadah, bukan untuk berseronok,” katanya ketika ditemui media, hari ini.
Tambah pelakon filem Syaitan Munafik itu, bekas suaminya, Beegio, maklum mengenai hasrat tersebut sejak awal, malah didakwa pernah menyimpan pasport miliknya dan anak-anak sehingga memaksanya membuat laporan polis serta memohon dokumen baharu.
“Dia tahu saya mahu pergi. Passport kami sekeluarga pernah diambil. Bila minta semula, hanya passport anak dipulangkan. Passport saya tiada. Akhirnya terpaksa buat passport baharu sekitar Ogos tahun lalu.
“Anak sendiri beritahu, ‘Mummy nak pergi umrah nanti kan?’ Jadi mustahil dia tidak tahu,” ujarnya selepas prosiding lafaz taklik di sini.
Menurut Linda, apa yang paling mengguris perasaan ialah dakwaan kononnya pemergiannya ke umrah bukan atas jemputan Allah SWT, sebaliknya sekadar ihsan penaja.
“Saya diberitahu kononnya saya pergi atas ehsan orang, bukan kerana Allah jemput. Saya seram dengar ayat itu. Masya-Allah, berani sungguh cakap begitu.
“Walaupun atas ehsan orang, itu tetap rezeki. Namun hakikatnya, setiap orang menjejakkan kaki ke sana hanya kerana jemputan Allah. Tidak kira siapa,” katanya.
Dalam masa sama, Linda memilih untuk tidak melayan mesej peribadi yang diterima daripada bekas suaminya, sebaliknya cuba memahami keadaan emosi lelaki berkenaan.
“Ada mesej-mesej saya terima, tapi saya diam. Saya faham dia berada dalam keadaan tidak stabil,” katanya.
Terdahulu, Linda berkongsi tangkap layar mesej dipercayai dihantar Beego yang mendoakannya menerima kifarah ketika menunaikan umrah pada 24 Disember lalu, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi warganet.
Rata-rata netizen melahirkan simpati terhadap Linda dan mendoakan agar aktres berkenaan terus tabah menghadapi ujian rumah tangga serta dikurniakan ketenangan jiwa.










