PETALING JAYA: Pelakon dan usahawan, Nur Nilam Ortiz tegas menafikan dakwaan dirinya mahu meraih populariti selepas menawarkan diri untuk menanggung kos guaman pelakon, Puteri Balqis sekiranya berdepan tindakan saman.
Menurut Nilam, niat baiknya untuk membantu pelakon itu atas dasar keprihatinan dan kemampuan tanpa meletakkan sebarang syarat.
“Bila aku bantu orang lain, ia bukan kerana populariti, status, atau siapa yang mereka kenal.
“Aku bukan memilih lingkaran berdasarkan nama besar, dan bukan juga kerana aku tidak mampu berkawan dengan sesiapa, tetapi kerana aku lebih selesa dengan hubungan yang jujur dan tidak bersyarat.
“Nilai seseorang, pada aku, tidak diukur melalui rangkaian yang dibanggakan tetapi bagaimana dia berdiri dengan prinsipnya sendiri apabila tiada siapa melihat. Aku membantu kerana aku mampu, bukan kerana siapa dia atau apa yang boleh aku peroleh daripadanya,” katanya.
Sebelum ini, Nur Nilam menerusi sebuah hantaran di Threads telah meluahkan hasratnya untuk menanggung sepenuhnya kos guaman demi memastikan hak pelakon berkenaan serta ibunya terbela.
“Kalau betul Puteri Balqis disaman, saya akan bantu dapatkan peguam yang terbaik dan tanggung semua bayaran guaman sampai selesai untuk pastukan dia dan mak dia dibela seadilnya.
“Orang yang banyak luka selalunya berani bercakap sebab dah terlalu lama diam. Dari pemerhatian saya, Puteri Balqis seorang budak yang baik, dan bila melibatkan maruah dan kebenaran, benda itu memang kena dipertahankan. Jika dia perlukan apa-apa, saya harap dia tahu bagaimana untuk hubungi saya,tolong jangan ganggu dia, biarkan mereka tenang,” katanya.










