Adira nafi rujuk berlaku

Adira nafi rujuk berlaku

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAWANG: Kontroversi dakwaan lafaz rujuk melibatkan penyanyi, Adira Suhaimi dan bekas suaminya, Datuk Seri Adnan Abu Bakar semakin mendapat perhatian apabila pihak Adira menafikan sebarang pengesahan rujuk berlaku.

Menurut peguam yang mewakili Adira, Nor Saidah Zakaria,  pihak Adnan mendakwa lafaz rujuk tersebut berlaku pada Mei 2024, namun anak guamnya menegaskan perkara itu tidak pernah berlaku seperti didakwa.

Katanya, dakwaan rujuk itu kononnya dibuat secara lisan namun berlaku di luar pengetahuan Adira.

“Kes ini adalah sebutan pertama. Pihak Adira menerima saman pengesahan lafaz rujuk pada 18 Disember 2025.

“Hari ini kami hadir bagi memasukkan wakalah peguam serta memfailkan pembelaan. Anak guam kami menafikan sepenuhnya dakwaan rujuk tersebut.

“Dakwaan menyatakan lafaz rujuk berlaku pada Mei 2024, namun berdasarkan pengetahuan Adira, perkara itu tidak pernah berlaku,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Syariah Daerah Gombak Barat, Sungai Buloh, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Nor Saidah turut memaklumkan pihaknya menerima notis daripada peguam Adnan yang meminta ahli keluarga Adira menurunkan sebarang hantaran berkaitan usahawan itu di media sosial.

“Hari ini juga kami menerima notis daripada peguam pihak plaintif yang meminta keluarga Adira menurunkan sebarang hantaran berkaitan beliau di media sosial,” katanya.

Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat menetapkan 16 Februari depan sebagai tarikh perbicaraan pertama bagi permohonan pengesahan lafaz rujuk pasangan berkenaan.

Sementara itu, peguam Datuk Seri Adnan, Nor Haiza Marina Mat Ramli memaklumkan perbicaraan tersebut akan dijalankan secara tertutup dan hanya dihadiri oleh plaintif serta defendan.

Sebelum ini, Adnan yang lebih dikenali sebagai Datuk Red melalui peguamnya mengesahkan telah memfailkan permohonan pengesahan lafaz rujuk terhadap Adira pada Disember tahun lalu.

Adira turut menyatakan rasa terkejut kerana tidak mengetahui tindakan yang diambil oleh bekas suaminya itu.

Untuk rekod, Adira dan Datuk Red mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua, namun perkahwinan tersebut berakhir dengan perceraian pada 24 April 2024.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 7; Asan, 6; Anggun, 5; dan Ayob, 3.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN