Tidak berkecil hati jika Senario buat persembahan tanpa saya - Ilya - Utusan Malaysia

Tidak berkecil hati jika Senario buat persembahan tanpa saya – Ilya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seiring pertambahan usia, pelawak dan anggota kumpulan Senario, Ilya Buang mengakui dirinya semakin kerap mempersoalkan kemampuan untuk terus berlawak seperti rakan-rakan seangkatannya sehingga timbul rasa seolah-olah tersisih.

Ilya, atau nama sebenarnya Ilya Buang Shaharum, 58, berkata tenaga fizikal yang semakin terbatas menyebabkan dia tidak berkecil hati sekiranya tidak diundang untuk menjayakan persembahan Senario pada setiap masa.

“Kadang-kadang bila nak buat persembahan, saya risau sebab saya tak macam mereka. Ada masanya saya rasa terasing bila ada persembahan yang tidak mengundang saya, tapi saya tak kisah.

“Mungkin saya agak pasif, kurang bertenaga. Bila umur meningkat, macam-macam persoalan timbul sesuai lagikah saya buat lawak begitu?” katanya pada sidang media Konsert The Last Kopek: Senariounion 30 Tahun, kelmarin.

Menurut Ilya yang mesra disapa Pak Ya, kegusaran itu sudah lama bersarang dalam dirinya sejak anak-anak masih kecil kerana bimbang mereka berasa malu dengan gaya lawaknya.

Katanya, perasaan itu sedikit sebanyak membuatkan dirinya lebih berhati-hati sehingga timbul rasa terpinggir, namun rakan-rakan Senario sentiasa memberikan kata-kata positif.

“Bila dah sampai tahap ini, ada perkara yang rasa tak sesuai untuk dipersembahkan disebabkan faktor usia. Pada orang muda nampak manis, tapi pada orang tua mungkin nampak tidak elok.

“Zaman sekarang ini pula pelbagai jenis lawak. Ada orang suka, ada yang tidak. Jadi saya lebih berhati-hati dan itu yang kadang-kadang buat saya rasa terpinggir,” ujarnya.

Walaupun begitu, Ilya tetap berusaha mengembalikan rentak dan aura Senario yang pernah mencetus fenomena dalam industri hiburan tanah air.

“Kawan-kawan Senario tak pernah cakap perkara negatif. Saya sendiri yang rasa begitu kerana dah tak larat sangat nak turun naik pentas, kejar orang untuk buat lawak menyakat.

“Itulah lumrah pelawak, suka menyakat orang. Tapi saya sekarang sudah kurang buat begitu,” katanya.

Ilya turut mengakui dirinya kini lebih sensitif, mungkin kerana sudah bergelar datuk dan memilih untuk lebih berhati-hati agar tidak melukakan hati orang lain.

Dalam perkembangan lain, Ilya bersama anggota Senario iaitu Azlee Jaafar, Saiful Apek, Yassin Yahya, Lan Pet Pet dan Wahid bakal tampil dalam Konsert The Last Kopek: Senariounion 30 Tahun, bersama lima anggota lain.

Konsert mega anjuran Dreamscape Events dan diterbitkan Kapla Entertainment itu akan berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 25 April tahun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN