Tiada agenda tersembunyi - Rita Rudaini - Utusan Malaysia

Tiada agenda tersembunyi – Rita Rudaini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Setelah lama berdiam diri, pelakon, Rita Rudaini akhirnya bersuara berhubung isu saman yang dikemukakan terhadapnya oleh dua tokoh akademik berhubung dakwaan fitnah.

Rita atau nama sebenarnya, Rita Rudaini Mohammad Mokhtar, 49, menegaskan bahawa setiap pandangan yang pernah dikongsikannya sebelum ini bukan atas kepentingan peribadi. 

Sebaliknya, aktres itu berkata, segala tindakannya hanya berlandaskan usaha mempertahankan hak serta kebajikan anak-anak dan golongan ibu bapa.

“Tiada agenda tersembunyi, hanya kebajikan anak-anak dan ibu bapa yang saya perjuangkan sejak awal.

“Andai kejujuran ini membuat ada yang kurang senang, saya terima kerana saya tidak tahu menjadi selain diri saya sendiri,”katanya.

Rita berkongsi perkara itu menerusi hantaran di platform Threads beserta tangkap layar berita sebuah portal mengenai isu tersebut.

Dalam satu lagi hantaran di entri sama, Rita turut memberitahu sifat jujur bukanlah sesuatu yang mudah diterima semua pihak.

“Hatinya kuat tapi sayangnya luar biasa, dan jujurnya pedih. Berkata jujur itu tidak selalu manis. Kadang yang paling pedih didengar, itulah yang paling benar,”ujarnya.

Dalam pada itu, Rita turut berkongsi sebuah video animasi memaparkan seorang pahlawan wanita yang mendukung anak.

Sementara itu, rata-rata netizen mengaitkan perkongsian itu dengan perjalanan hidup Rita sebagai ibu tunggal yang terus memperjuangkan apa yang dipercayainya.

Sebelum ini, dua tokoh akademik iaitu Yang Dipertua MUAFAKAT MRSM Sungai Besar, Mohd Roslan Mohd Nor, serta timbalannya Saidah Haris @ Harith memfailkan saman terhadap Rita melalui Tetuan Adnan Sharida & Associates pada 6 Disember lalu.

Menurut peguam mereka, Datuk Adnan Seman, tuntutan itu difailkan selepas pihaknya mendapati Rita memuat naik beberapa kenyataan didakwa berunsur fitnah di Instagram, WhatsApp dan beberapa platform lain.

Terdahulu, Rita pernah membuat dakwaan berhubung wujudnya kepincangan dalam kepimpinan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (Muafakat) di MRSM Sungai Besar, yang mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN