Malaysia tidak tawar eksport REE mentah dalam rundingan ART

Malaysia tidak tawar eksport REE mentah dalam rundingan ART

JOHARI Abdul Ghani
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak menawarkan pengeksportan unsur nadir bumi (REE) mentah sebagai timbal balas atau prasyarat dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) selaras dengan dasar semasa negara terhadap pengurusan sumber tersebut.

Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sentiasa menitikberatkan penyelarasan serta libat urus dengan Kerajaan Negeri dalam urusan pengurusan sumber mineral termasuk REE mengikut pembahagian kuasa Persekutuan dan Negeri.

Katanya, dalam perancangan atau inisiatif berkaitan pembangunan industri REE, Kerajaan Persekutuan mengambil pendekatan berhati-hati dan memastikan rundingan dibuat secara rapi bersama Kerajaan Negeri bagi memelihara kepentingan serta keutamaan pembangunan negeri.

“Berhubung perjanjian ART antara Malaysia dan AS, atas faktor kesegeraan, tiada sesi libat urus dan perundingan yang khusus mengenainya bersama pihak Kerajaan Negeri.

“Namun, tindakan diambil tetap menjunjung prinsip pembahagian kuasa Perlembagaan Persekutuan serta pendirian yang telah dipersetujui dalam pelbagai platform rundingan berkaitan pembangunan industri mineral sebelum ini,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen.

Beliau menjawab soalan Senator Baharuddin Ahmad mengenai sama ada Kerajaan Persekutuan mengadakan libat urus dan rundingan dengan Kerajaan Negeri berkaitan industri REE mentah sebelum menandatangani ART dengan AS

Mengulas lanjut, Johari berkata, NRES telah mengemukakan input kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) selaku peneraju rundingan bahawa bidang kuasa Kerajaan Negeri dalam pembangunan industri REE, khususnya aktiviti mencari gali dan perlombongan peringkat huluan perlu dihormati.

“Malaysia tidak menawarkan pengeksportan REE mentah sebagai timbal balas atau prasyarat dalam rundingan tersebut selaras dengan dasar semasa mengenainya,” katanya.

Beliau berkata, rundingan ART dilaksanakan melalui pendekatan keseluruhan kerajaan yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan.

“Pada masa sama, NRES menegaskan apa-apa aktiviti perlombongan REE di dalam negara kekal tertakluk kepada kerangka perundangan sedia ada serta persetujuan Kerajaan Negeri mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN